Kes ziarah Aidilfitri Neelofa selesai?

0
1

RAMAI kini mempersoalkan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dilihat seperti melaksanakan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara dwi-standard antara golongan ‘kayangan’ dengan ‘marhaen’ membabitkan kes usahawan dan selebriti terkenal Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa.

Facebook Polis KL menjadi sasaran netizen sejak semalam terutama membabitkan kenyataan media Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Annuar Omar berkenaan pelanggaran SOP PKP melibatkan keluarga selebriti tempatan itu.

Ribuan komen berhubung siaran media terbabit yang rata-rata mempertikaikan kenyataan mengenai pelaksanaan SOP Am PKP 3.0 di Wilayah Persekutuan yang menetapkan rentas negeri dan daerah tidak dibenarkan melainkan dengan kebenaran PDRM, namun Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dibenarkan kerana dikira sebagai satu kawasan jangkitan.

Seorang pengguna Facebook Khairul Anuar Zamburi, mempersoalkan sama ada ziarah Aidilfitri dibenarkan atau tidak.

“Soalannya ziarah raya tu salah atau tidak? Isu Lopa yang ini orang tak cakap pun soal rentas negeri.. Sebab kerajaan dah tetapkan tidak boleh ziarah raya,” komennya.

Seorang lagi pengguna dengan nama EF MY mengatakan kenyataan polis itu akan menyebabkan lebih ramai pihak yang akan melakukan ziarah raya.

“Jadi ziarah-menziarah dibenarkan? Terima kasih polis atas pencerahan. Syawal masih berbaki 21 hari lagi ni,” katanya.
Sementara itu, isu berkenaan turut dibangkitkan aktivis dan juga peguam terkenal, Asiah Abd Jalil.

“Guys! Ni kenyataan media dari Ketua Polis Daerah Brickfields.

“Pergerakan di dalam kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagaimanapun dibenarkan dan ianya dikira sebagai satu kawasan jangkitan.

“Kita semua kena tipu beb. Sebenarnya masa 1 Syawal hari tu, boleh aje nak ziarah rumah ke rumah. Asalkan dalam satu kawasan jangkitan yang sama. Neelofa bijak. Kita semua bodoh,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Polis semalam dilaporkan selesai merakam keterangan Neelofa bersama sembilan lagi ahli keluarganya susulan dakwaan ingkar prosedur SOP Aidilfitri.

Kesemua mereka hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields pada 2.51 petang sebelum dilihat beredar kira-kira 5.40 petang semalam.

Selebriti terbabit dan keluarganya hadir bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pelanggaran SOP ketika sambutan Aidilfitri di kediaman mereka di Taman Tun Dr Ismail, pada 13 Mei lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here