Abu Rujhan al-Tumpati
SEJARAH tercatat dengan angka 6,075 jangkitan Covid-19 bertarikh 19 Mei 2021 di seluruh negara. Walaupun pelbagai usaha dan pendekatan digunakan oleh kerajaan mengekang wabak ini, namun tiada tanda-tanda angka menurun.
Malahan kita digemparkan pula dengan varian jangkitan baharu yang bermutasi dengan cepat sehingga boleh membunuh nyawa manusia dengan kadar yang tinggi.
Malapetaka apakah yang telah melanda negara kita? Sedangkan doa-doa ulama, zikir, wirit, ratib, solat hajat dan lain-lain ibadat tidak pernah lekang memanjat doa kepada Allah SWT supaya Covid-19 diangkat dan lupus di muka bumi.
Sikap rakyat yang mementingkan diri sendiri dan menjadikan kehidupan keduniaan sebagai hidangan istimewa sehingga ujian demi ujian yang diberikan oleh Allah SWT tidak dilihat dengan mata hati untuk terus beriman kepada Al Wali (maha melindungi), Al Hakam (yang maha memberi hukuman), Al Muhyi (yang maha menghidupkan), Al Malik (yang maha berkuasa) dan Al Muhaimin (maha pelindung).
Kita sebagai umat Islam yang bersyahadah perlu sentiasa berfikir siang dan malam untuk mengembalikan kekuatan sebenar iman yang sebenar kepada Allah Azzawajalla.
Galilah ilmu warisan Islam yg hakiki berdasarkan wahyu Allah SWT.
Besar mana pun perancangan jahat musuh, mereka tidak akan dapat menguasai orang Islam apabila umat Islam bersatu hati berasaskan kepada aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang kukuh, pengamalan dan penghayatan fiqh dan tasawuf yang mantap.
Sebab itulah penulis tegaskan di sini, jangan kita terlalu terpesona dengan teori konspirasi, iluminiti dan lain-lain untuk tidak menyahut seruan Ulil Amri (Ketua Agama) untuk mengambil suntikan vaksin dan menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang ketat demi menjaga nyawa diri, keluarga dan rakan.
Ingat! Sebesar mana pun perancangan jahat kafirin, mereka tidak akan dapat mengalahkan umat Islam, kerana umat Islam ada Allah dan Rasul juga keberkatan tawassul dengan ulama-ulama ASWJ.
Fikirlah cara untuk mengembalikan umat Islam kepada landasan yang sebenar yakni ketaatan kita pada Ulil Amri dan maqasid syariah menekankan keselamatan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Dalam situasi wabak Covid-19 memelihara nyawa (hifz an-nafs). Jangan degil, jangan ‘kerah cokeng’, jangan keras kepala, jangan nak berhibur semata-semata di masa Covid-19 ini.
Selamilah hadis-hadis fitan, rujuk ulama-ulama ASWJ, belajar aqidah, fiqh dan tasawuf kerani ini banyak memacu kehidupan kita untuk mendapat petunjuk dari Allah SWT sekiranya kita tidak meyakini sesuatu dalam membuat keputusan Insya-Allah.
Kita umat Islam perlu dibekalkan dengan ilmu yang mampan untuk menghadapi akhir zaman yang penuh mencabar terutama dalam menyerap asakan konspirasi dari blok Eropah yang menyusup masuk ke tanah air kita.
Kita jangan terlalu mengagungkan bangsa Yahudi atau gerakan Zionis dan terpengaruh dengan propaganda mereka kerana bangsa mereka memang diutuskan untuk kucar kacirkan seluruh seluruh umat terutama orang Islam.
Sehinggakan apa yang berlaku di dunia kini dianggap terhasil daripada perancangan Yahudi. Jika mereka cerdik, sehingga ramai umat kita terpedaya, cuba suruh mereka ini atur dunia ikut telunjuk mereka siang malam ribut panas taufan dan sebagainya.
Bangsa Yahudi adalah bangsa yang dihinakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran. Mereka tiada nilai apa-apa jadi sepatutnya kita umat Islam yang mempunyai value (nilai) berasa bangga untuk mengisi ilmu di dada supaya tidak terpengaruh dengan agenda mereka.
Tetapi umat Islam hari ini cukup bangga kalau mengisahkan bangsa asing sehingga mengagungkan bangsa luar seperti menceritakan rezeki orang lain, bangga lulusan dari universiti-universiti dari Yahudi, ‘berkepak’ jalan bila berasal dari graduan sana, tanpa sedari mereka telah meracuni pemikiran umat Islam, bangga dapat hidup ala British atau Amerika Syarikat.
Bangga memiliki kekayaan menunjuk sana sini tanpa melihat itu semua adalah pinjaman dari Allah SWT.
Jika mereka cerdik, mereka mesti beriman kepada Nabi Muhammad SAW, tetapi disebabkan mereka tak cerdik, mereka tidak beriman kpd Nabi akhir zaman. Dikala Allah SWT menjanjikan pahala yang berganda kepada mereka apabila masuk Islam, mereka tidak masuk Islam juga.
Sebahagian kecil sahaja masuk Islam. Jadi mereka mengkaji ketamadunan Islam untuk memperlengkapkan teknologi mereka supaya orang Islam terpesona sekali gus dapat menyuntik secara halus dengan teori yang menakutkan umat serta menjadi telunjuk mereka dari sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta bersesuaian dengan hadis.
Abu Sa’id al-Khudri RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Kalian benar-benar akan mengikut jalan orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggalah jika mereka masuk ke dalam lubang biawak pun kalian akan memasukinya”.
Kami (iaitu kalangan sahabat) bertanya: “Ya Rasulullah, adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Baginda SAW menjawab: “Siapa lagi (kalau bukan mereka)?” (Hadis Riwayat al-Bukhari).
Oleh itu, orang yang terpesona dengan teori konspirasi ini sebenarnya mereka terlalu mengagungkan Yahudi. Seakan Yahudi lah perancang segala-galanya, berjaya menguasai dunia, sehinggakan mereka melupakan Allah, Tuhan semesta alam. Ingat kita ada Allah..Allah..Allah.
Umat Islam tidak akan kembali kuat, jika mereka sendiri tidak merasai keizzahan bersama Islam. Umat Islam yang kuat adalah umat Islam yang bersatu, mempunyai kefahaman agama yang mendalam, menghayati akidah, syariat dan akhlak dengan baik, serta banyak memohon pertolongan kepada Allah SWT.
Lillahitaala.. banyakkan selawat kepada junjungan Nabi SAW.
Insya-Allah, umat Islam akan sentiasa menang, jika mereka benar-benar kembali kepada Islam dengan pemahaman yang benar dipandu oleh ulama, pewaris ilmu para Nabi.
Ketidakpercayaan sebahagian daripada masyarakat kepada vaksin walau dibentang 1,001 fakta tentangnya perlu dilihat kepada kajian yang lebih luas.
Kita sedia maklum capaian info yang terlalu pantas dengan pelbagai insiden yang didakwa pembawaan vaksin sehingga rentetan episod yang tragis dan penuh misteri yang berlaku telah berlaku kepada penerima vaksin tersebut.
Namun kajian juga jaminan dari pihak autoriti telah pun terjawab yang mana rakyat di negara kita lebih sejuta orang telah menerima vaksin setakat ini telah menampakkan hasil untuk kita mengembleng tenaga mencegah serta memutuskan rantaian Covid-19 ini.
Jangan takut dan gentar sesungguhnya Allah Azzawajalla sebaik-baik perancangan. Banyakkan selawat semasa menerima vaksin moga Allah melindungi diri kita. Sedikit ilmu untuk dikongsi supaya Covid-19 tidak mendekati kita. Amalkan bacaan al-Quraisy sebanyak 21 kali selepas solat Maghrib dan Subuh. Namun bacaan lain juga digalakkan.
Namun kita berikhtiarlah dengan apa sahaja termasuk vaksin (sekiranya kerajaan mewajibkan: hukum vaksin kita sedia maklum daripada majlis fatwa) sebagai langkah pencegahan dan bertawakkal kepada Allah jua.
Sehebat mana konspirasi pihak musuh untuk menghancurkan kita sekiranya tidak diizinkan Allah, perkara ini pasti tidak akan terjadi. Umat harus bangkit dan fokus kepada tanggungjawab masing-masing. Tak usah dihantui dengan ketakutan melampau dengan konspirasi sehingga mengganggu kerja buat seharian.
Pergi cari ilmu dan berdamping dengan asatizah ASWJ moga terungkai permasalahan ini. Sampai bila nak baca dakyah dan propaganda dari mereka? Kitab-kitab ulama ditinggalkan begitu sahaja, majlis ilmu sepi, solat jemaah ditinggalkan, pasar raya diramaikan, anak muda berpeleseran, ibu bapa memberi ruang anak-anak bergaul bebas, buka aurat kononnya inginkan kemodenan dan lain-lain.
Semoga Allah SWT memelihara kita, keluarga, saudara, rakan dan negara kita dan diangkat Covid-19 ke tempat asalnya serta dilupuskan. Amin-Malaysiapost
Penulis adalah penceramah keselamatan dan pendakwah bebas

