Hanya pergerakan dibenarkan, ziarah raya tidak – Polis KL

0
1

POLIS Kuala Lumpur menegaskan pergerakan di dalam kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah dibenarkan, namun aktiviti ziarah raya tetap tidak boleh.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, berkata pihaknya memandang serius isu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan bagi mengekang penularan Covid-19.

Menurutnya, merujuk satu video tular membabitkan seorang selebriti yang didakwa menyambut Aidilfitri bersama ahli keluarganya, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields telah membuka kertas siasatan mengikut Peraturan 17 [P. U. (A) 225/21].

“Ia bagi dakwaan ziarah raya yang dilakukan ahli keluarga tersebut. Kertas siasatan telah lengkap dan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara dalam tempoh terdekat,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Menurutnya, sebagaimana diputuskan kerajaan, sebarang aktiviti ziarah raya adalah tidak dibenarkan dan pergerakan merentas sempadan negeri serta daerah juga tidak dibenarkan melainkan dengan kebenaran polis.

“Pergerakan dalam kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah dibenarkan namun aktiviti ziarah raya tetap tidak dibenarkan untuk mana-mana individu sekali pun.

“Sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan pelanggaran SOP, orang ramai diminta menyalurkannya ke talian hotline Polis Kuala Lumpur 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Terdahulu, Malaysiapost melaporkan ramai kini mempersoalkan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dilihat seperti melaksanakan penguatkuasaan SOP PKP secara dwi-standard antara golongan ‘kayangan’ dengan ‘marhaen’ membabitkan kes usahawan dan selebriti terkenal Neelofa.

Laman Facebook Polis KL menjadi sasaran netizen sejak semalam terutama membabitkan kenyataan media Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Annuar Omar berkenaan pelanggaran SOP PKP melibatkan keluarga selebriti tempatan itu.

Ribuan komen berhubung siaran media terbabit yang rata-rata mempertikaikan kenyataan mengenai pelaksanaan SOP Am PKP 3.0 di Wilayah Persekutuan yang menetapkan rentas negeri dan daerah tidak dibenarkan melainkan dengan kebenaran PDRM, namun Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dibenarkan kerana dikira sebagai satu kawasan jangkitan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here