Kelantan sedia hadapi total lockdown

0
2

Kerajaan Negeri Kelantan bersedia berhadapan kemungkinan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di negeri itu.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata sehingga kini jumlah jangkitan Covid-19 di negeri itu masih stabil walaupun wujud kluster-kluster baharu di beberapa daerah.

Beliau berkata, sebarang keputusan melibatkan pelaksanaan PKP tersebut akan dibincangkan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK).

“Setakat ini, walaupun masih tiga angka, tapi tidak naik terlalu tinggi. Jadi untuk sebarang keputusan lanjut kita kena berpandukan kepada apa yang diputuskan MKN dan JKNK.

“Keputusan-keputusan ini kita ambil apabila ada pandangan dari JKNK. Pada pandangan peribadi saya sendiri, (jumlah jangkitan) Selangor memang sudah diluar kawalan.

“Kita bukan nak tunggu keadaan makin teruk baharu boleh buat PKP penuh, tapi semuanya atas cadangan dan nasihat lanjut dari pihak MKN dan JKNK,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, kebanyakkan rakyat keliru dengan keputusan pelaksanaan PKP dan sebagainya kerana ia sebenarnya dibuat berdasarkan nasihat dan perbincangan dengan dua agensi berkenaan.

Katanya, setiap keputusan yang dilakukan mempunyai prosedur tertentu dan walaupun ia agak ‘berat’, namun ia sudah dibincangkan melibatkan kerjasama beberapa agensi dan peringkat.

“Memanglah setiap kali mesyuarat, kita akan bawa pandangan dan cadangan kita. Selebihnya, JKNK yang akan tentukan sebab mereka lebih mengetahui baik buruknya. Itu yang kita kena faham.

“Dalam keadaan darurat sekarang ini, kita hanya sebagai pelaksana sahaja sebab bila darurat, kerajaan negeri boleh dianggap hilang kuasa sepenuhnya. Perkara ini yang perlu kita semua faham,” katanya.

Ketika ditanya mengenai nasib peniaga ditepi jalan yang masih tidak dibenarkan berniaga, Mohd Amar berkata, perkara tersebut perlu dilihat pada keadaan semasa yang dikeluarkan MKN. – Malaysiapost

Foto Kredit: Utusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here