Jemaah masjid menyusahkan orang lain secara berjemaah – Nik Abduh

0
1

Nurul Huda Abhar

AHLI Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyelar tindakan beberapa pihak yang masih enggan mengikut prosedur operasi standard (SOP) sehingga mencetuskan peningkatan kes mendadak di Kelantan.

Ianya selepas lebih 1,000 penduduk membanjiri khemah saringan Covid-19 Surau Al-Ahmadiah di Kampung Pauh Lima di Bachok semalam bagi menjalankan ujian swab susulan pandemik yang menular di kawasan kampung berkenaan sejak 7 Mei lalu.

Dikatakan, penularan tercetus akibat daripada aktiviti surau diteruskan di Kampung Pauh Lima dengan puluhan jemaah sanggup solat dalam gelap demi mengelak dikesan pihak berkuasa,

“Tiada isu bagi yang patuhi SOP. Covid-19 hanya kenal Allah sebagai tuhannya.

“Isu adalah ahli jemaah masjid yang menyusahkan orang lain secara berjemaah kerana tidak patuhi SOP. Mereka ini tidak mengenal Allah melalui syariat-Nya, tetapi melalui tabiat diri. Degil,” katanya di hantaran Facebook, hari ini.

Terdahulu, Kampung Pauh Lima membabitkan kampung yang bersempadanan di dua daerah iaitu Bachok dan Kota Bharu dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini.

Apa yang mengejutkan apabila terdapat sumber memberitahu aktiviti surau di kampung tersebut berjalan seperti biasa termasuk sepanjang Ramadan, dan penduduk sanggup menyorok selipar supaya kehadiran mereka secara beramai-ramai tidak dapat dikesan.

Walaupun arahan sudah dikeluarkan dengan surau tidak dibenarkan mengadakan solat fardu melainkan hanya empat jemaah saja yang dibenarkan, namun penduduk tidak mengendahkan arahan terbabit. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here