Anwar kesal penangkapan peserta himpunan Kerajaan Gagal

0
1

PRESIDEN PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal dengan penangkapan beberapa individu yang telah dikaitkan dengan himpunan ‘Kerajaan Gagal’ di Batu Pahat, baru-baru ini.

Menurut Ketua Pembangkang itu, himpunan yang disertai anak muda itu adalah manifestasi kekecewaan golongan muda terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dikatakan gagal menangani beberapa isu melanda negara ketika ini.

“Saya kesal dan kecewa dengan penangkapan sekumpulan anak muda oleh pihak berkuasa di Batu Pahat, Johor yang bertindak menzahirkan sanggahan terhadap pemerintah baru-baru ini.

“Tekanan pihak berkuasa terhadap anak-anak muda yang melakukan protes di hadapan Bangunan Parlimen bulan lalu turut dikesalkan.

“Apa yang kita saksikan sekarang adalah kegagalan yang nyata kerajaan Perikatan Nasional dalam segenap segi, dan sikap mereka dalam mendepani kritikan dan bantahan semacam ini hanya mencerminkan kelemahan kerajaan.

“Keengganan kerajaan untuk mengadakan sidang Parlimen amat dikesali sementara proses demokrasi terus diinjak dan dinodai. Saya yakin sentimen bantahan seperti ini akan terus merebak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun Anwar memuji tindakan pantas para peguam yang telah menawar khidmat guaman percuma untuk membela mereka yang ditahan polis.

“Saya hargai usaha bingkas para peguam dan Ahli Parlimen dalam menawar dukungan guaman kepada mereka,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan tujuh lagi individu ditahan polis hari ini.

Beliau berkata, tujuh daripada 20 individu yang ditahan sebelum ini disambung reman tiga hari selepas tempoh tahanan reman dibenarkan sebelum ini tamat semalam.

Katanya, tujuh individu baharu yang ditahan itu kini direman tiga hari bagi membantu siasatan.

Ayob turut menegaskan sejauh mana wujud dalang dalam penganjuran himpunan itu masih dalam siasatan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here