KERETA Volvo milik Menteri Besar Kedah akhirnya menjadi milik Mohammad Yaakob Yusra Mohd Yusof setelah membidanya dengan nilai RM150,000 .
Menerusi satu hantaran di Facebook, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor telah memuat naik gambar penyerahan kereta Volvo model XC60 3.0 T6 kepada pemilik baru.
“Wang bidaan RM150,000.00 menjadi milik rakyat Palestin. Alhamdulillah.
“Bayaran telah dibuat kepada Tabung Kemanusiaan PASRelief #Aid4Palestine melalui pindahan atas talian,” katanya.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi telah mengumumkan untuk menjual kereta kesayangannya itu dengan mempelawa orang ramai membida kenderaan miliknya bagi mengisi tabung kemanusiaan Palestin.
“Saya buka harga rizab RM55,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Puluh Lima Ribu sahaja) untuk kereta ini dan 100 peratus hasil bidaan ini akan dimasukkan ke akaun aid4palestin,” katanya.

