“DERMA politik boleh, derma vaksin tak boleh. Kepala otak dia!” luah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan Menteri Kewangan itu ternyata marah dengan tindakan Kerajaan Persekutuan yang tidak membenarkan kerajaan negeri Pulau Pinang menerima sumbangan dua juta dos vaksin Sinovac daripada sebuah syarikat.
Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan, berkata dia terkejut dengan pendedahan dibuat Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, mengenai perkara itu.
“Saya amat terkejut dengan apa yang dibongkarkan oleh Kon Yeow. Saya rasa sangat marah kerana rakyat sekarang minta dos vaksin termasuk juga pemberita yang merupakan petugas barisan hadapan tetapi tidak divaksinasi pun.
“Tetapi bila ada orang nak derma vaksin mengapa tidak boleh dibenarkan. Ini satu jenayah oleh Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam sidang media bersama Kon Yeow di Pulau Pinang hari ini.
Menurutnya, dengan adanya dua juta dos vaksin berkenaan, petugas barisan hadapan, warga emas, begitu banyak nyawa boleh diselamatkan.
“Saya nak cadangkan kepada Kon Yeow dan negeri untuk menerima dos disumbangkan itu, jika mereka (pihak berkuasa) mahu menghukum, biarkan mereka hukum.
“Saya harap ia masih laku (sumbangan vaksin) kalau masih laku saya cadangkan ambil sahaja. Biar ia dirampas atau diambil oleh kerajaan kerana kita ingin tahu mengapa derma (vaksin) tidak boleh,” katanya.
Terdahulu Kon Yeow mendedahkan Pulau Pinang ditawarkan dua juta dos vaksin Sinovac secara percuma Februari lalu, tetapi tidak dapat menerimanya kerana dihalang Putrajaya.
Beliau berkata, kerajaan negeri menulis surat kepada Kementerian Kesihatan untuk meminta kebenaran menggunakan vaksin itu, tetapi ditolak Putrajaya yang meminta Pulau Pinang menunggu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilancarkan.
“Jika kami dapat dua juta dos ini, ia akan diserahkan kepada KKM untuk diberikan kepada rakyat Pulau Pinang, Jika ada dos lebih, ia boleh diberikan kepada negeri lain.
“Kami juga ingin tanya kenapa Pulau Pinang dan negeri lain tidak diberikan peluang sama untuk membeli vaksin seperti Selangor dan Sarawak,” katanya. – Malaysiapost

