LHDN tuntut Muhammad Shafee bayar tunggakan cukai pendapatan lebih RM9 juta

0
1

KERAJAAN Malaysia melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memfailkan saman terhadap peguam terkenal, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagi membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah lebih RM9 juta.

Kerajaan Malaysia selaku plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan melalui LHDN pada 6 Mei lalu di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Muhammad Shafee, 69, sebagai defendan tunggal, lapor Berita Harian.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh media, peguam berkenaan mempunyai tunggakan cukai tahun taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016.

Mengikut pernyataan tuntutan itu, kerajaan Malaysia mendakwa bagi Tahun-Tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016, defendan ditaksirkan dengan cukai pendapatan berjumlah RM621,291.85, RM978,854.11, RM3,581,500.000, RM1,735,124.03 dan RM1,826,557.87 melalui Notis-notis Taksiran masing-masing bertarikh 27 Mei 2019.

Notis-notis Taksiran itu dihantar secara pos berdaftar kepada defendan pada 31 Mei 2019 ke alamat terakhirnya di Jalan Tunku, Bukit Tunku, Kuala Lumpur , yang diketahui oleh plaintif pada masa itu dan notis berkenaan tidak pernah dikembalikan kepada plaintif tanpa serah.

Seterusnya lebihan kredit sebanyak RM186,965.48 digunakan dan ditolak sebagai sebahagian bayaran cukai pendapatan bagi Tahun Taksiran 2011 itu, meninggalkan baki yang masih terhutang dan perlu dibayar sebanyak RM434,326.37 bagi tahun taksiran berkenaan.

“Defendan gagal untuk membayar jumlah cukai sebanyak RM434,326.37, RM978,854.11, RM3,581,500.00 dan RM1,735,124.03 dan RM1,826,557.87 dalam tempoh 30 hari dari tarikh penyampaian Notis-notis Taksiran itu kepadanya (defendan) seperti ditetapkan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Oleh itu, kenaikan cukai sebanyak 10 peratus masing-masing dikenakan dan ditambah ke atas keseluruhan cukai pendapatan bagi Tahun-tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 yang masih belum dibayar,” menurut plaintif dalam pernyataan tuntutannya.

Sehingga kini, defendan dilaporkan masih gagal membayar kepada plaintif amaun cukai pendapatan yang masih terhutang dan genap masanya yang perlu dibayar bagi Tahun-tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016, termasuk kenaikan yang dikenakan ke atasnya, semuanya berjumlah RM9,414,708.32.

Oleh itu, Shafee dituntut membayar RM9,414,708.32, faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah.

Peguam, Muhammad Farhan yang mewakili Muhammad Shafee, berkata pihaknya belum menerima writ saman berkenaan dan hanya mengetahui perkara itu menerusi media.

Sementara itu, sumber LHDN mengesahkan pihaknya belum menyerahkan saman itu kepada Muhammad Shafee, tetapi menjangka berbuat demikian dalam masa terdekat. -Malaysiapost

Foto Kredit: Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here