KAPASITI Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Pasir Gudang di Johor Bahru sudah mencapai 80 peratus penggunaan berikutan peningkatan jumlah kes jangkitan Covid-19 di negeri itu.
Pengarah PKRC Pasir Gudang, Dr Mohd Fathi Zaki Mohd Zakaria, berkata PKRC berkenaan kini hanya boleh menampung sejumlah kira-kira 250 pesakit Covid-19 sahaja lagi, membabitkan 200 pesakit lelaki dan 50 pesakit wanita.
“Ketika ini terdapat seramai 824 pesakit Covid-19 dari seluruh negeri ini yang dirawat di PKRC Pasir Gudang dan jumlah pesakit yang dibawa masuk bagi dikuarantin di sini semakin meningkat setiap hari.
“Kapasiti maksimum PKRC Pasir Gudang adalah untuk kira-kira 1,200 pesakit dan ia ada 20 peratus kekosongan lagi sebelum mencapai tahap maksimum.
“Status semasa PKRC Pasir Gudang yang hampir mencapai tahap maksimum sudah dilaporkan kepada Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu selain Bahagian Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.
“Difahamkan beberapa lokasi sedang dikenal pasti mengikut daerah atau zon bagi diwujudkan PKRC baharu bagi merawat dan kuarantin pesakit Covid-19 di negeri ini yang semakin meningkat,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Johor memiliki dua PKRC iaitu PKRC Pasir Gudang yang merupakan fasiliti terbesar kendalian kerajaan.
Manakala sebuah lagi PKRC dikendalikan swasta iaitu DB Complex, Iskandar Puteri, yang mempunyai kapasiti 395 katil dan kini mencapai 81 peratus penggunaan, dengan 320 pesakit sedang dikuarantin dan dirawat.
Sementara itu, Dr Mohd Fathi Zaki berkata, PKRC dikendalikan 106 kakitangan membabitkan agensi Kementerian Kesihatan (KKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM),Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM).
“PKRC Pasir Gudang beroperasi 24 jam sehari dengan antara aktiviti pesakit dirawat termasuklah senaman harian selain makanan yang akan diagihkan mengikut waktu ditetapkan,” katanya.
Selain itu, beliau turut mengalu-alukan sumbangan makanan kering daripada syarikat korporat serta badan bukan kerajaan (NGO) kepada PKRC berkenaan.
Katanya, ia berikutan stok makanan kering yang sebelum ini disumbangkan syarikat korporat dan NGO, semakin kehabisan stok.
“Antara makanan kering yang diperlukan PKRC Pasir Gudang, termasuklah bekalan mi segera, biskut kering dalam pek berasingan selain minuman pra campuran.
“Jika ada yang berminat memberi sumbangan barangan berkenaan bolehlah menghubungi talian PKRC Pasir Gudang di nombor 07-2677279 atau 07-2560149,” katanya. -Malaysiapost
Foto Kredit: Sinar Harian

