KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mencadangkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di Selangor jika usaha sedia ada masih gagal mengekang lonjakan kes di negeri itu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata KKM bersetuju supaya prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat dilaksanakan di Selangor yang mencatatkan lebih 1,000 kes setiap hari ketika ini.
“Pelaksanaan PKP di seluruh negara ketika ini membolehkan KKM melaksanakan lebih banyak ujian dan pengasingan serta merawat kes positif, di samping kerjasama kerajaan negeri untuk mengendali ujian RTK-Antigen di kawasan ada kaitan epidemiologi yang tinggi.
“Ia juga membenarkan kita melaksanakan pengesanan kontak lebih cepat dan melaksanakan keseluruhan pencegahan dan kawalan kesihatan awam,” katanya pada sidang media mingguan secara maya, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah kawalan yang longgar di Selangor walaupun negeri itu mencatat lonjakan kes harian melebihi 1,000 secara berterusan ketika ini.
Justeru, Dr Adham berkata, beliau bersetuju bahawa KKM perlu mencadangkan kepada kerajaan supaya SOP lebih ketat dilaksanakan.
“Jika membabitkan ketidakupayaan mengekang jangkitan, maka cadangan pelaksanaan PKP penuh boleh dipertimbangkan,” katanya. – Malaysiapost

