Sebagai abang… saya maafkan tuduhan tersebut – Azmin Ali

0
2

“SAYA membaca tuduhan yang dibuat oleh Ummi Hafilda. Sebagai abang, saya maafkan tuduhan tersebut.”

Demikian kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung dakwaan oleh adiknya, Ummi Hafilda berhubung dakwaan beliau melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 1 Syawal lalu.

Ahli Parlimen Gombak itu menerusi ciapan di Twitternya malam tadi berkata tidak ada apa-apa yang perlu disimpan di dalam hati.

“Mungkin beliau tidak mengetahui keadaan sebenar. Semoga Syawal ini lebih bermakna untuk kita semua. Eid Mubarak,” ciapnya.

Semalam, polis mengesahkan sambutan dan jamuan raya di rumah Mohamed Azmin seperti dikongsi di Facebook Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, hanya melibatkan ahli keluarganya yang tinggal di rumah sama.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata ia berdasarkan keterangan petugas yang menjaga pos kewalan kediaman rasmi tersebut pada 1 Syawal.

Beliau bagaimanapun berkata, Mohamed Azmin serta ahli keluarga dan anggota Pasukan Gerakan Am yang bertugas di kediaman beliau dan Ummi Hafilda serta saksi lain akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Terdahulu Mohd Fadzil berkata pada jam 3 petang kelmarin, satu laporan polis diterima berkenaan hantaran dalam Facebook atas nama Ummi Hafilda Ali yang tular di media sosial dan mendapat perhatian netizen.

Katanya, ia berhubung dakwaan ahli keluarga Mohamed Azmin merentas daerah dan berkumpul bagi merai sambutan Aidilfitri. – Malaysiapost

Foto Kredit: Facebook/MohamedAzminAli

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here