KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) berpandangan terdapat keperluan mendesak untuk mewujudkan ‘Field ICU’ yang dikhaskan untuk merawat pesakit kritikal di Hospital Kepala Batas.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia berdasarkan analisa situasi semasa serta faktor peningkatan kadar penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) Covid-19 di hospital-hospital Pulau Pinang yang telah mencecah lebih 100 peratus.
Katanya, KKM juga mendapati trend kemasukan pesakit ke ICU di Pulau Pinang meningkat lebih 45 peratus untuk tempoh dua minggu kebelakangan ini.
“Trend ini dijangka berterusan khususnya apabila wujudnya kluster-kluster baharu yang melibatkan rumah jagaan warga emas dan lain-lain,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Terdahulu Dr Noor Hisham mengadakan lawatan rasmi ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan untuk sesi ‘Dry Run Field ICU’ yang akan didirikan di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang.
Katanya, selepas ‘dry run’ tersebut, satu sesi taklimat dijalankan oleh Pengarah Perubatan, Markas ATM-Bahagian Perkhidmatan Kesihatan, Mej Jen Datuk Dr Mohammad Amirrudin Hamdan.
Ia sebagai persediaan melancarkan proses pembinaan ‘Field ICU’ bagi menampung peningkatan kes-kes kritikal yang mendadak di Pulau Pinang.
Sesi itu turut disertai delegasi KKM dari Program Perubatan dan Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan bagi melancarkan proses pembinaan ‘Field ICU’.
Dr Noor Hisham berkata ‘Field ICU’ yang bakal didirikan di Hospital Kepala Batas akan menggunakan konsep modular di mana ia mampu merawat sehingga 27 pesakit kritikal Covid-19 yang memerlukan bantuan pernafasan serta peralatan ‘life support’ lain.
Ini katanya seperti mesin dialisis untuk pesakit-pesakit yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang akibat jangkitan Covid-19 dan ‘infusion pump’ bagi menyokong fungsi jantung.
“Selain itu, Angkatan Tentera Malaysia juga akan mendirikan makmal modular dan unit radiologi modular bagi memberi kemudahan perkhidmatan sokongan klinikal kepada pesakit kritikal yang ditempatkan di ‘Field ICU’ ini.
“Sekalung penghargaan dan ribuan terima kasih terutama kepada Jeneral Tan Sri Panglima Angkatan Tentera, Leftenen Jeneral Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, dan seluruh warga Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan atas segala kerjasama kepada KKM bagi membina ‘Field ICU’ di Hospital Kepala Batas ini.
“Semoga segala usaha ini dapat membantu KKM memastikan rawatan terbaik kepada pesakit kritikal Covid-19 di Kepala Batas dan kawasan sekitarnya, seterusnya mengurangkan kadar kematian akibat Covid-19 di Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

