PARTI Solidariti Tanah Airku (Star Sabah) menafikan ia berdiri teguh bersama Israel yang ketika ini hebat menyerang penduduk Palestin seperti tertera pada poster yang tular di media sosial.
Menerusi kenyataan di Facebook Star Sabah, parti itu menyifatkan penyebaran poster tersebut yang turut memaparkan Presidennya, Datuk Dr Jeffrey Ketingan sebagai fitnah.
“Kami sekeras-kerasnya menyangkal dakwaan tidak berasas dan fitnah yang telah dilemparkan di media sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab,” kata kenyataan itu hari ini.
Terdahulu semalam poster berkenaan tersebar di media sosial, antara lain tertulis ‘I Stand With Israel’ bersama bendera Sabah dan Israel yang digabungkan.
Turut ditulis pada poster tersebut adalah ‘DSP Jeffrey Kitingan, YB Phillip Among dan seluruh jentera Star Sabah teguh bersama Israel’. – Malaysiapost

