PM terima panggilan daripada Ketua Biro Politik Hamas

0
1

TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau telah menerima panggilan telefon daripada Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyya yang memaklumkan situasi semasa di Palestin terutama di Gaza.

Perdana Menteri berkata beliau amat terkesan mendengar perkhabaran berhubung keadaan masyarakat Islam di Palestin, khususnya Semenanjung Gaza yang amat menyedihkan serta menyayat hati.

“Saya menzahirkan ucapan takziah dan dukacita bagi pihak seluruh rakyat Malaysia atas kehilangan nyawa serta kecederaan dialami rakyat Palestin akibat serangan ganas rejim Israel.

“Saya turut menegaskan pendirian serta usaha-usaha yang telah dan sedang diambil Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin tatkala menghadapi detik yang sukar ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Perdana Menteri berkata beliau turut menyatakan komitmen Malaysia dalam mencari jalan untuk menghulurkan bantuan sewajarnya bagi membantu meringankan kesukaran rakyat Palestin.

“Saya juga berkongsi keprihatinan dan inisiatif yang dilakukan badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta rakyat Malaysia yang kini giat menganjurkan bantuan kemanusiaan serta bersolidariti penuh ke atas perjuangan rakyat Palestin pada waktu yang mencabar ini,” katanya.

Muhyiddin berkata pemimpin Hamas itu sangat menghargai keprihatinan rakyat Malaysia terhadap penderitaan rakyat Palestin dan berterima kasih atas bantuan berterusan yang telah diberikan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here