Konflik Palestin – Israel, penyelesaian 2 negara gagal – PPMM

0
1

PERSATUAN Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mahu segala usaha penyelesaian konflik Palestin – Israel perlu memberi hak penuh dan manfaat kepada rakyat Palestin dalam membebaskan negara itu daripada terus dijajah oleh Rejim Zionis Israel.

PPMM menerusi kenyataan berkata usaha penyelesaian dua negara (two state solution) jelas tidak diterima baik oleh rakyat Palestin yang mahu segala pencerobohan haram oleh pendatang haram dihentikan serta-merta.

Menurut PPMM, status Baitul Maqdis sebagai tanah waqaf umat Islam tidak wajar dikompromi dengan penaklukan haram oleh Rejim Zionis Israel dan dengan tindakan terbaharu telah menukar status kepada ibu negara haram Israel.

“Justeru, PPMM menyokong penuh usaha kerajaan memastikan hak dan perjuangan rakyat Palestin sejak berdekad-dekad dalam mempertahankan kota suci ketiga umat Islam itu secara berterusan tanpa merujuk penyelesaian dua negara.

“Ini termasuk menghantar tentera pengaman dan bantuan untuk Palestin,” kata kenyataan itu hari ini.

PPMM turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan yang secara terbuka melalui Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengukuhkan pendirian yang telah terbina ke atas perjuangan rakyat Palestin selama ini dengan memberi sokongan diplomatik, logistik, dan moral sehingga kini.

Selain itu, PPMM menyokong penuh usaha antara tiga negara di peringkat serantau terdiri Malaysia, Indonesia dan Brunei dalam memulakan usaha di peringkat Asia Tenggara dan negara-negara Islam.

“Ia tidak harus hanya sekadar kenyataan tetapi tindakan sewajarnya perlu diambil.

“PPMM mengulangi bahawa kekejaman ke atas umat islam di Palestin tidak boleh diterima mana-mana individu yang waras dan jelas merupakan pelanggaran jenayah perang mengikut Perjanjian ke-4 Konvensyen Geneva (“Geneva Convention”).

“Malah PPMM menegaskan Malaysia kini berada di landasan betul dan tepat dalam memainkan peranan di peringkat antarabangsa bagi membela nasib rakyat Palestin menerusi Kementerian Luar sama ada melalui rundingan mediasi atau tindakan bersepadu,” katanya.

PPMM menegaskan penyelesaian dua negara (two state solution) berdasarkan garis sempadan pra-1967 dengan Baitul Maqdis timur sebagai ibu kota Palestin telah gagal menyelesaikan kemelut ini kerana Zionis Israel tidak pernah mengiktirafnya.

Malah, katanya Resolusi 242 Perjanjian Bangsa-Bangsa Bersatu pada 1967 serta beberapa siri-siri perjanjian antarabangsa susulan telah dicabuli oleh Israel yang telah dilakukan melalui pelbagai usaha diplomatik di peringkat antarabangsa.

“Hala tuju negara Palestin perlu kepada suatu kemerdekaan penuh tanpa berkompromi puak Rejim Zionis Israel.

“Oleh itu penyelesaian dua negara telah gagal dan tidak perlu dipertegaskan lagi. Rejim Zionis juga pernah mendambakan ‘The Greater Israel’ yang meliputi Kawasan hingga ke Iraq,” katanya. – Malaysiapost

Foto Kredit: Twitter/@JatIkhwan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here