PEMUDA Umno menggesa kerajaan segera mengadakan sidang khas Parlimen bagi membentangkan usul tergempar mengutuk serangan kejam dan tidak berperikemanusiaan tentera pengganas Israel terhadap rakyat Palestin.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindak balas Israel yang menggunakan kekerasan dan keganasan terhadap himpunan awam rakyat Palestin bukan sahaja tidak menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Malah katanya, jelas melanggar Resolusi 2334 Dewan Keamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkenaan larangan membangunkan pemukiman baharu Yahudi di atas tanah milik rakyat Palestin.
Sehubungan itu, beliau meminta Parlimen segera bersidang dan membentangkan usul yang akan menyerlahkan solidariti rakyat Malaysia tanpa mengira parti dan ideologi.
“Ini dalam menyuarakan pendirian Malaysia secara tegas dan keras terhadap aksi penganas serta kebiadaban Israel yang mencabuli hak asasi manusia dan melakukan jenayah perang yang amat melampau.
“Parlimen Malaysia juga mesti mengusulkan agar Majlis Keselamatan PBB segera campur tangan sebelum ramai lagi nyawa orang awam terutama wanita dan kanak-kanak terkorban akibat kerakusan Tentera Zionis Israel,” katanya. – Malaysiapost

