MALAYSIA disaran menghantar tentera ke Palestin bagi membantu umat Islam negara itu dari serangan tentera Israel.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasruddin Hassan berkata beliau bersetuju dengan saranan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan agar negara-negara Islam menghantar tentera ke Palestin.
“Sekurang-kurangnya untuk menjaga keamanan penduduk dan masyarakat awam Palestin dari serangan tentera Israel.
“Malaysia tidak ketinggalan, layaknya turut menghantar tentera bagi membantu umat Islam di Palestin,” katanya menerusi Facebook.
Sehubungan itu, beliau turut meminta rakyat Malaysia terus berdoa dan menyalurkan dana untuk bebaskan bumi Al-Quds itu.
Tambahnya, peristiwa serangan Zionis Yahudi ke atas umat Islam di Masjidil Aqsa akhir Ramadan lalu telah membawa satu peperangan baharu antara Yahudi dan Islam.
Bagaimanapun, katanya, tindak balas dari Al-Muqaawamah iaitu Briged Al-Qassam, menjadi satu pukulan hebat ke atas kaum Yahudi.
“Media antarabangsa melaporkan betapa Yahudi kini terpinga-pinga menyaksikan keupayaan Al Qassam dengan Scud Al Ayyash yang dilancarkan ke beberapa lokasi strategik mereka.
“Sebelum ini, Yahudi hanya menerima tentangan kecil dari umat Islam Palestin berupa batu dan kayu yang dilemparkan oleh anak-anak muda dari masyarakat awam.
“Kini umat Islam Palestin mempunyai pasukan tentera yang bukan sahaja bersedia untuk syahid, tetapi sangat terlatih dengan strategi perang dan memiliki kelengkapan persenjataan yang mampu menjadikan Tel Aviv sebagai kawah neraka,” katanya.
Beliau berkata, serangan balas tersebut yang mengejutkan Yahudi itu, malah serangan tentera siber dari umat Islam seluruh dunia juga tidak kurang hebat.
“Paparan kekejaman mereka ke atas penduduk Palestin kini dengan mudah diakses dan pantas tular ke seluruh dunia dan ia menaikkan kemarahan masyarakat dunia termasuk dari kalangan bukan muslim.
“Mereka tidak berupaya lagi untuk mengawal media khasnya media baharu dari mendedahkan kekejaman mereka,” katanya.
Menurutnya, laporan terkini memaklumkan Turki, Jordan dan Lubnan mula bertindak untuk mendepani Israel dengan menghantar tentera mereka ke perbatasan Palestin.
“Kita mengharapkan ada sinar baharu yang akan membawa kemenangan kepada umat Islam, khasnya Palestin sekali gus membebaskan bumi Al Quds itu dari cengkaman Zionis Israel.
“Kita dari kejauhan ini, terus berdoa dan memberi infaq untuk menampung keperluan umat Islam di Palestin,” katanya. – Malaysiapost

