Kaitkan kematian Haziq dengan pengambilan vaksin tak bertanggungjawab

0
1

TINDAKAN pihak tertentu mengaitkan kematian Allahyarham Haziq Kamaruddin dengan pengambilan vaksin Covid-19 adalah tidak bertanggungjawab.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata orang ramai dimohon supaya tidak menyebarkan sebarang berita yang tidak benar.

“Saya serta 242 orang atlet termasuklah Allahyarham Haziq turut mengambil vaksin yang sama.

“Kita beri ruang supaya pihak hospital buat bedah siasat. Jangan timbulkan sebarang spekulasi yang tidak wajar. Kita hormati perasaan keluarga Allahyarham juga.

Sebarang perkembangan, saya dan KBS akan maklumkan kepada semua,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya.

Terdahulu Allahyarham Haziq yang juga pemanah senior dan Olimpian negara, dilaporkan meninggal dunia awal pagi tadi.

Haziq yang berasal dari Johor Bahru dan sudah berkeluarga, pernah mewakili negara dalam dua temasya Sukan Olimpik iaitu London 2012 dan Rio 2016.

Allahyarham juga banyak mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa dengan meraih pingat emas pada Kejohanan Memanah Asia 2011 di Tehran, Sukan SEA 2015 di Singapura dan Sukan SEA 2017 di Malaysia.

Sementara itu, Reezal Merican turut meluangkan masa bertemu keluarga Allahyarham dan mengucapkan takziah.

“Saya mendapat perkhabaran mendukacitakan dengan pemergian seorang atlet negara hari ini.

“Al-Fatihah buat Allahyarham Mohd Haziq Kamarudin, atlet memanah Program Podium yang kembali ke rahmatullah pagi tadi.

“Sebak dan sayu melihat wajah isteri Allahyarham, Shahira dan keluarga yang dikejutkan dengan pemergian Allahyarham pada Syawal kedua ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here