Rusuhan Parit Raja: 20 individu ditahan

0
1

SERAMAI 20 individu ditahan setakat ini bagi membantu siasatan berhubung rusuhan dan menaikkan kain rentang ‘Kerajaan Gagal’ di Parit Raja, Batu Pahat, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata kesemua mereka berumur 16 hingga 28 tahun itu adalah penduduk setempat yang ditahan bermula jam 11 malam tadi.

“Operasi Khas ini bagi mengesan dan menahan mereka yang terbabit dalam kejadian merusuh, membakar suar dan menaikkan kain rentang di Parit Raja.

“Kesemua mereka tiada rekod jenayah dan direman empat hari sehingga 17 Mei ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ismail berkata insiden itu berlaku di persimpangan lampu isyarat di pekan Parit Raja kira-kira jam 2 pagi melibatkan sekitar 40 orang yang membuat halangan menggunakan motosikal dan kereta terhadap pengguna kenderaan lain.

“Tunjuk perasaan itu berlaku hampir 15 minit bagi menarik perhatian orang ramai selain memasang kain rentang menyatakan bantahan kepada kerajaan serta membakar suar.

“Kain rentang sama juga dibawa dan digantung di jejantas hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kong Nan Parit Raja sejurus kejadian,” katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas kain rentang, sisa-sisa pembakaran suar dan mercun di tempat kejadian.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 144 Kanun Keseksaan, Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan.

Selain Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (Akta 342) dan Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here