Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ketika menghadiri beberapa program di Langkawi 8 Mei lalu.
Beliau memohon maaf berhubung perkara itu dan menyatakan kesediaan untuk menerima sebarang denda.
“Saya dimaklumkan pada acara tersebut, saya telah melanggar SOP dengan tidak mengambil suhu badan apabila masuk ke surau tersebut.
“Ini merupakan satu kesalahan. Perkara ini tidak harus berlaku. Saya minta maaf kerana tidak patuh SOP.
“Saya akan terima tindakan mengikut undang-undang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membayar denda sebanyak RM3,000 kerana gagal mencatatkan suhu badan ketika menghadiri majlis makan di sebuah kedai nasi ayam baru-baru ini.
Pemilik kedai nasi ayam yang terletak di ibu kota itu pula dikenakan denda sebanyak RM10,000 kerana gagal memastikan pelanggan mematuhi SOP ditetapkan.
Najib semalam dalam satu hantaran di Facebooknya turut mempersoal tiada sebarang tindakan diambil terhadap Mahathir kerana gagal mematuhi SOP berkenaan.
Dalam pada itu, Mahathir berkata pada 8 Mei lalu beliau memenuhi beberapa program bagi menyampakan sumbangan bulan Ramadan serta Aidilfitri di kawasan Parlimennya.
Antaranya sumbangan raya kepada penduduk di Surau Tsunami Batu Arang, Kuala Teriang, Kuah.
Sementara itu, Mahathir berkata Covid-19 adalah wabak yang serius dan penyakit ini tidak mengenali sesiapa mahupun sempadan kawasan.
‘SOP harus dipatuhi tidak kira oleh sesiapa kerana ini dapat bantu bendung merebaknya penyakit ini.
“Kita tidak harus ambil ringan. Sekali lagi saya minta maaf kerana melanggar peraturan ini,” katanya.- Malaysiapost

