Masyarakat Orang Asli di Bukit Lagong sambut Syawal sederhana

0
1

Nilam Oshman

SAMBUTAN Syawal masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli, Hutan Lipur Bukit Lagong di Gombak, dirai secara sederhana susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Wakil masyarakat Orang Asli, Rogayah Mohamed, 55, berkata persiapan raya penduduk kampung tahun ini, sama seperti tahun lalu dilakukan sederhana kerana wabak Covid-19 serta pelaksanaan PKP.

Rogayah Mohamed, 55

Namun begitu kata, penduduk kampung akan bergotong-royong memasak dan makan di surau At-Taqwa di kampung itu pada pagi raya nanti dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP).

Presiden DPIA, Datuk Sohaimi Shahadan

“Kita dapat sumbangan ayam, daging dalam program Cahaya Ramadan 2021 ini, jadi memang pagi raya itu akan masak dan dibahagikan kepada semua.

“Walaupun sambutan sederhana sahaja… tapi kami tetap bersyukur kerana ada sumbangan oleh pihak yang prihatin termasuk kuih raya untuk dinikmati pada raya nanti,” katanya pada program Cahaya Ramadan 2021 baru-baru ini.

Presiden DPIA, Datuk Sohaimi Shahadan menyampaikan sumbangan

Sempena program itu, seramai 29 keluarga masyarakat Orang Asli beragama Islam di kampung tersebut menerima sumbangan makanan.

Program itu dianjurkan Pertubuhan kebajikan Islam Teratak Che Dah dengan kerjasama Yayasan Jamin serta Dewan Perdagangan dan Industri Asean (DPIA).

Presiden DPIA, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, sumbangan makanan yang diberikan antaranya ayam pencen, daging dan biskut raya, nasi impit dan air kordial sebagai persiapan juadah Aidilfitri.

Mengulas lanjut, Rogayah yang sudah menetap di kampung tersebut selama 15 tahun berkata, setiap kali Aidilfitri, juadah istimewa di Kampung Orang Asli ini adalah lemang periuk kera.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih dan syukur atas sumbangan yang diberikan oleh Pertubuhan kebajikan Islam Teratak Che Dah, Yayasan Jamin dan DPIA.

“Alhamdulillah, jarang kami dapat sumbangan berbentuk ayam dan daging, selalunya beras.

“Kali ini kami dapat ayam pencen dan daging, jadi boleh buat rendang… malah biskut raya pun mereka bagi, barulah rasa raya,” katanya.

Sementara itu, Meri Atan, 29, berkata, tiada persiapan raya dilakukan beliau sekeluarga kerana keseronokan dan kemeriahan Aidilfitri tidak dapat dirasai lagi tahun ini.

“Baju raya pun tak beli, saya dan anak-anak pakai yang lama. Lemang, rendang pun tak buat.. tak buat apa-apa sempena raya ini.

“Kami cuma menyertai gotong-royong di surau sahajalah, sambut di sini,” katanya.

Zubaidah B pula berkata, persiapan raya tetap dilakukan cuma dibuat secara ringkas sahaja berbanding tahun sebelumnya.

“Satu keluarga ada baju baru, buat rendang daging macam biasa, tapi tak ada yang istimewa.. raya tetap kita rai walaupun tak boleh rentas negeri.

“Terkesan sebenarnya wabak Covid-19 ini, sekarang negara kita kena balik PKP, rindu dah lama tak ziarah sedara-mara sebelah suami di Bidor, Perak.

“Tapi nak buat macam mana, kita ikutlah arahan,” katanya ibu kepada tiga anak itu. – Malaysiapost.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here