Cuba rentas negeri dengan pelbagai taktik punca kesesakan di SJR

0
1

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesan pelbagai taktik digunakan orang ramai yang cuba merentas negeri terutama untuk pulang ke kampung sempena Aidilfitri.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata susulan itu PDRM mengetatkan lagi pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR).

Menurutnya, tindakan itu mengakibatkan kesesakan jalan raya yang tidak dapat dielakkan.

“Saya faham dengan sentimen kemarahan orang ramai susulan terperangkap dalam SJR selama dua hingga tiga jam.

“Tindakan PDRM adalah untuk memastikan arahan kerajaan supaya dapat memutuskan rantaian Covid-19. Ia perlu dilaksanakan.

“Kita tidak mahu ada yang terlepas dengan menipu di SJR, sebab pelbagai taktik digunakan orang ramai sekarang ini, bermacam surat diberi termasuk ada yang hanya guna pas bekerja untuk balik kampung,” katanya dalam sidang media di Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam, Johor hari ini.

Beliau berkata, antara kes yang dikesan membabitkan sebuah van dinaiki 15 orang yang melalui Plaza Tol Bentong, Pahang untuk ke Terengganu.

“Dalam satu van ada ramai, 15 orang kalau tak silap saya, kononnya semua nak pergi kerja di Terengganu, namun apabila kita buat pemeriksaan secara teliti rupa-rupanya mereka menggunakan pas bekerja untuk balik beraya.

“Perkara macam inilah yang berlaku sekarang ini, orang ramai cuba sedaya-upaya untuk merentas negeri,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu membuatkan PDRM menjalankan pemeriksaan lebih teliti dan menyebabkan kesesakan jalan raya.

“Tetapi itulah tugas dan tanggungjawab kita sebagai polis, bila tanggungjawab diberi maka kita kena jalankan dengan baik.

“Kita tahu memang PDRM kena marah, kita tahu kalau keputusan dibuat kerajaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), pelaksanaannya ialah polis dan kami berdepan pelbagai kecaman termasuk isu anggota tersilap beri kompaun dan sebagainya,” katanya. – Malaysiapost

Abd Rahim berkata, kompaun ingkar prosedur operasi standard (SOP) kawalan dan pencegahan Covid-19 sudah lebih 100,000 dikeluarkan polis dan pasti ada berlaku kesilapan.

“Tetapi kalau berlaku sedikit kesilapan dan rakyat tidak boleh terima, tidak patut lah macam itu. Polis pun manusia ada lakukan kesilapan, tetapi perkara itu bukanlah tidak boleh di atasi,” katanya.

Menurutnya, kompaun dikeluar membabitkan pelbagai kesalahan antara yang paling banyak adalah tidak memakai pelitup muka, manakala nilai kompaun tertinggi RM50,000 tertumpu lebih kepada pusat hiburan yang degil dan masih beroperasi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here