Nurul Huda Abhar
PEMUDA Umno mendesak kerajaan memanfaatkan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 untuk mengarahkan institusi kewangan memberikan moratorium secara automatik kepada kumpulan rakyat tertentu.
Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pemberian moratarium itu juga tanpa mengenakan sebarang caj tambahan ataupun keuntungan terakru.
Beliau berkata, apa fungsi Proklamasi Darurat jika tidak dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat, dan di mana fungsi Ordinan Darurat jika pihak tertentu dibiarkan mengambil kesempatan atas kesempitan rakyat.
“Sejak semalam Pemuda Umno menerima banyak permintaan dan maklum balas orang ramai agar bank dan institusi kewangan dapat memberikan Moratorium sekurang-kurangnya tiga bulan mengambil kira Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang diisytiharkan kerajaan.
“Ramai yang mengadu susah dan makin tertekan dengan hambatan ekonomi yang kian meruncing lantaran pengurangan pendapatan yang mendadak akibat PKP yang menghadkan pergerakan dan membantutkan usaha memulihkan perniagaan masing-masing.
“Hakikatnya tiada satu bank ataupun institusi kewangan yang rugi jauh sekali muflis akibat penawaran moratorium waktu PKP kali pertama dilaksanakan dulu,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Semalam, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP seluruh negara berkuatkuasa 12 Mei ini hingga 7 Jun.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan memutuskan untuk mengambil langkah yang lebih tegas dan ketat bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dalam masyarakat dan menghalang kenaikan kes secara mendadak.
“Dengan jumlah kes harian melebihi 4,000 kes dan 37,396 kes aktif dengan 1,700 kes kematian dilaporkan setakat 10 Mei 2021, Malaysia sedang berhadapan dengan gelombang ketiga Covid-19 yang boleh mencetuskan suatu krisis nasional.
“Kewujudan varian-varian baharu dengan kadar jangkitan yang lebih tinggi, kekangan ke atas kapasiti sistem kesihatan awam yang semakin meruncing dan kelemahan pematuhan SOP dalam kalangan sebahagian anggota masyarakat.
“Ia menuntut kerajaan untuk mengambil tindakan yang lebih drastik bagi mengelakkan negara terjerumus ke dalam malapetaka kesihatan yang lebih parah,” katanya. – Malaysiapost

