DEWAN Pemuda Ikatan Malaysia (Ikatan) menyifatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh yang diumumkan kerajaan semalam, adalah langkat tepat pada masanya.
Ketuanya, Shahir Adnan, berkata pihaknya telah berulang kali menyuarakan perlunya PKP 3.0 apabila peningkatan mendadak kes Covid-19 berlaku di negara ini.
Katanya, pelaksanaan PKP terpilih mengikut daerah agak mengelirukan dan membuatkan rakyat hilang arah, menyebabkan ramai tidak patuh SOP yang ditetapkan.
“Pertambahan kes yang mendadak boleh ditafsirkan sebagai gelombang ketiga Covid-19 yang menyebabkan barisan hadapan semakin letih dan penat.
“Oleh itu, PKP 3.0 perlu dilaksanakan dengan tegas seperti PKP 1.0 agar kita berjaya menurunkan kes. Jangan ulangi SOP PKP 2.0 yang separa masak. Ini penting agar rakyat tidak perlu melalui PKP 4.0, PKP 5.0 atau seterusnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemipin pembangkang digesa tidak perlu bercerita politik dengan desakan yang tidak masuk akal kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan niat mnyuburkan kebencian kepada kerajaan.
“Tidak perlu bercerita tentang pembukaan sidang Parlimen, kerana ketika mereka menjadi kerajaan Pakatan Harapan, mereka ponteng beramai-ramai sidang Parlimen kerana ‘suhu Dewan Rakyat terlalu sejuk’ dan ‘keletihan untuk hadir’.
“Justeru, Ikatan mencadangkan kepada Kerajaan PN memberikan moratorium automatik selama 3 hingga 6 bulan agar rakyat boleh bernafas dek kerana banyak perniagaan merudum sejak awal bulan puasa, hinggalah jualan persiapan hari raya yang terpaksa dibatalkan, mengakibatkan kerugian peniaga-peniaga kecil secara drastik,” katanya.
Beliau berkata, Menteri Kewangan juga perlu bertindak cepat dengan menyalurkan bantuan komputer riba seperti yang dijanjikan dalam belanjawan lalu bagi membantu pelajar.
“Menteri Pendidikan pula perlu mengumumkan Pelan Pembelajaran dan Pengajaran dari Rumah (PdPR) yang jelas dan teratur bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan anak-anak kita agar tiada yang keciciran,” katanya.
Semalam, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP seluruh negara berkuatkuasa 12 Mei ini hingga 7 Jun.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan telah memutuskan untuk mengambil langkah yang lebih tegas dan ketat bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dalam masyarakat dan menghalang kenaikan kes secara mendadak.
“Dengan jumlah kes harian melebihi 4,000 kes dan 37,396 kes aktif dengan 1,700 kes kematian dilaporkan setakat 10 Mei 2021, Malaysia sedang berhadapan dengan gelombang ketiga Covid-19 yang boleh mencetuskan suatu krisis nasional,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/05/10/pkp-di-seluruh-negara-bermula-12-mei/

