PKP 3.0: Kerajaan jangan lepas tangan, segera bantu rakyat

0
2

PEMUDA Amanah menggesa kerajaan tidak bersikap lepas tangan dalam membantu takyat yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, diumum semalam.

Dalam kenyataan bersama, mereka berkata, lebih setengah juta rakyat kehilangan punca pendapatan dan ribuan perniagaan terpaksa gulung tikar akibat pelaksanaan dua siri PKP yang lalu.

Justeru, mereka berkata, kerajaan wajib melaksanakan kembali Bantuan Tunai, Program Subsidi Upah dan moratorium menyeluruh secara automatik sehingga Disember ini bagi menjamin kelangsungan hidup rakyat.

“Kami juga mendesak PKP 3.0 kali ini dilaksanakan bersandarkan data dan analisis saintifik yang tepat tanpa pilih kasih.

“Mana-mana premis perniagaan atau kilang yang melanggar SOP atau menjadi punca merebak Covid-19 perlu dikenakan tindakan, ditutup dan dikuarantin sehingga selamat sebelum dibenarkan beroperasi kembali,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, sekiranya kerajaan terus gagal melindungi rakyat dan tidak mampu untuk melaksanakan saranan dan program bantuan berkenaan pihaknya menuntut Parlimen bersidang.

“Kami menuntut supaya sidang parlimen diadakan segera bagi memikul tanggungjawab memulihkan negara,” katanya.

Kenyataan bersama itu membabitkan Ketua Pemuda Amanah Lembah Pantai, Zulhafiz Zulkifli; Ketua Pemuda Amanah Batu, Anhdeer Supardy Lazuardi; Ketua Pemuda Amanah Kepong, Hafizzuddin Razian.

Serta, Ketua Pemuda Amanah Bandar Tun Razak, Sheikh Khuzaifah Sheik Abu Bakar dan Ketua Pemuda Amanah Bukit Bintang, Sheikh Khuzaifah Sheik Abu Bakar. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here