Ibu terima 10 jahitan elak ditikam anak sakit mental

0
2

SEORANG ibu melalui detik cemas selepas anak lelakinya yang mempunyai masalah mental mengacukan pisau kepadanya dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Orkid Permai, Kepala Batas, malam tadi.

Ketika kejadian jam 9.30 malam itu, mangsa berusia 56 tahun bersama suaminya sedang menunaikan solat tarawih di ruang tamu kediaman mereka.

Bagaimanapun, pasangan itu dikejutkan dengan tindakan anak lelaki mereka berusia 29 tahun yang meluru dengan bersenjatakan pisau.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata suspek yang memegang dua pisau di kedua-dua tangannya kemudian menghalakan senjata itu ke arah ibunya.

“Suami mangsa yang menyedari tindakan itu kemudian menolak anaknya sehingga terjatuh namun pisau itu terkena tangan kiri mangsa yang turut cuba menghalang suspek.

“Mangsa dibawa ke wad kecemasan Hospital Kepala Batas (HKB) oleh anak-anaknya yang lain untuk rawatan lanjut berikutan mengalami luka di tangan serta menerima 10 jahitan.

“Keadaan mangsa dilaporkan stabil serta sudah dibenarkan pulang ke rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan berhubung insiden berkenaan.

“Siasatan mendapati anak lelaki pasangan itu mempunyai masalah gangguan mental sejak 2016 dan dalam proses perubatan sehingga kini.

“Suspek sudah lebih setahun hanya berkurung sahaja di dalam rumah sahaja tanpa bercakap dengan sesiapa,” katanya.

Noorzainy berkata, polis menahan suspek yang tidak bekerja dan masih bujang itu untuk siasatan lanjut.

“Dalam pada itu, polis juga merampas pisau yang digunakan suspek dalam insiden terbabit. Ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati dia negatif dadah.

“Suspek juga gagal memberi keterangan ekoran keadaannya dan dia dihantar ke Hospital Psikiatri, Jalan Perak untuk rawatan serta tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here