PKP 3.0: Najib hairan sektor kilang, pembinaan dibenar beroperasi

0
2
Pix via Malaysiapost

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan tindakan kerajaan membenarkan kilang dan tapak pembinaan beroperasi sedangkan dua sektor itu menyumbang 60 peratus kluster Covid-19.

Beliau berkata, kedua-dua sektor itu terus dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan PKP 3.0 sekali gus menyukar usaha membendung wabak.

“60% cluster daripada gelombang Covid ini adalah dari kilang dan tapak pembinaan. Tapi kilang dan tapak pembinaan juga yang terus dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKP 2.0 dan PKP 3.0.

“Jadi, bagaimana nak harap PKP 2.0 dan PKP 3.0 untuk putuskan rantaian Covid?,” soalnya dalam hantaran Facebook.

Najib berkata, kerajaan memberi alasan sekiranya semua sektor ditutup ia akan menyukarkan rakyat untuk mencari makan.

“Saya bagi fakta. Sejak darurat diumum 11 Januari kilang-kilang dan tapak pembinaan milik tauke besar atau milik syarikat asing tak pernah tutup walau sehari pun.

“Kedai-kedai kecil tutup 2 bulan (11 Januari hingga 4 Mac). Sektor pelancongan yang melibatkan berjuta orang tutup atau sangat terjejas dari 11 Januari hingga kini sebab larangan rentas negeri.

“Sektor pendidikan termasuk sektor berkaitan seperti pengusaha bas sekolah tutup 2 bulan (11 Januari hingga 4 Mac) lalu tutup semula bulan Mei,” katanya.

Najib berkata, selain itu sektor hiburan juga ditutup sejak 11 Januari hingga kini sekali gus menyebabkan industri itu tidak mempunyai pendapatan selama lima bulan.

“Lain-lain sektor sekejap dibenar buka, sekejap diarah tutup atau sangat terjejas sebab ramai pelangan kurang keluar rumah selagi jumlah kes Covid tinggi.

“Adakah hanya tauke-tauke besar serta pemilik asing perlu cari makan tapi orang biasa dan sektor tempatan yang lain tak perlu cari makan?,” soalnya.

Semalam, kerajaan PKP di seluruh negara dengan larangan baharu berkaitan aktiviti Aidilfitri berkuat kuasa esok.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, berkata bagi tempoh PKP itu, semua sektor ekonomi dibenarkan untuk beroperasi.

Katanya, tarikh kuat kuasa larangan rentas daerah dan negeri serta larangan aktiviti sosial, sukan dan pendidikan adalah bermula pada 10 Mei hingga 6 Jun 2021 seperti yang diumumkan sebelum ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here