14 tahun tidur tepi jalan, akhirnya ‘Aunty Maaletchmy’ ada rumah

0
1

SEJAK 14 tahun lalu, ‘Aunty Maaletchmy’ menumpang tidur di dalam khemah kecil di tepi pokok berdekatan jalan besar yang sibuk dengan kenderaan.

Nasib wanita yang bekerja sebagai pengutip besi ini akhirnya terbela selepas pendakwah bebas, Ebit Lew tampil menghulurkan bantuan.

Menurut Ebit, wanita berusia 62 tahun yang fasih berbahasa Melayu dan Inggeris itu tidak mahukan simpati sesiapa dan rela menanggung kesusahannya sendiri.

“Pilu rasa hati. Aunty Maaletchmy ni tidur di bawah pokok kecil selama 14 tahun. Kerja kutip besi. Makcik Indian ni umur 62 tahun. Rajin kutip besi.

“Tiga kali saya ternampak makcik ni kutip besi. Cari semula dah tiada. Fasih cakap melayu dan bahasa Inggeris. Tak sangka ada orang tidur disini selama ini. Dengan kereta banyak lalu sebelah sini,” katanya menerusi Facebook.

Ebit berkata, lebih menyedihkan warga emas ini juga pernah dikacau individu yang tergamak melakukan perbuatan ‘tidak baik’ terhadapnya.

“Tengah malam makcik ni akan tolak troli ni dan tidur di bawah pokok dan khemah kecil ni semenjak 14 tahun lalu. Memang dia menyorok tidur ada pokok hadang kerana tak nak orang nampak. Prinsipnya tak nak susahkan orang.

“Tauke besi buruk dan beberapa orang susah yang mengenali makcik ni gembira bila saya datang. Katanya tolonglah dia,kami risau dia tidur bawah pokok je.

“Makcik ni pernah berkahwin. Lagi sedih makcik ni cerita dekat saya,kadang ada orang kacau. Katanya lelaki pernah buat tak baik padanya atau raba dia. Ramai ambil kesempatan walau dia dah tua. Katanya janji jangan pukul saya jerlah,” katanya.

Ebit berkata, beliau sedih mengenang nasib wanita itu yang memaklumkan dia pernah menyewa namun terpaksa keluar selepas tidak mempau membayar sewa rumah.

“Sedih sangat dengar nasib hidupnya. Dulu pernah menyewa tapi kena keluar sebab tiada duit nak bayar. Saya pujuk sehingga dia terima saya nak bagi rumah sewa free untuknya.

“Ustaz bagi orang lain yang lebih perlu. Saya boleh cari duit. Kalau kuat kerja cukup duit untuk makan minum semua. Saya sihat walau 62 tahun. Muda dekat hati bila bersyukur dan happy,” cerita Ebit.

Ebit berkata, beliau bersyukur kerana berjaya menyewakan wanita itu rumah malam tadi termasuk membeli barangan keperluan untuknya.

“Bawa dari 3 petang semalam pergi shoping baju, kasut, barang-barang rumah sementara tunggu kunci dari tuan rumah 9 malam.

“Makcik suka warna apa. Dia suka warna hijau jer. Beli baju semua warna hijau. Saya ajak makan waktu berbuka puasa. Katanya saya tak puasa. Ustaz makanlah dulu.

“Takper makcik kita makan sekali. Katanya kali pertama makan ikan Patin. Sedap goreng ni yer ustaz. Makcik ni ambil semua lebih kuah hirup. Saya kata saya order lagi. Takper saya tak mahu kamu bazirkan,” katanya.

Beliau berkata, wanita itu pada awlnya tidak percaya yang Ebit mahu menyediakan rumah sewa untuknya dan menyangka pendakwah itu hanya ‘main-main’.

“Saya ingat kamu main-main. Betul kamu baik ye. Selepas ini saya tak payah berlari kalau hujan lebat tengah malam. Tiada orang buat tak baik pada saya. Terima kasih ye Ustaz. Saya doakan kamu.

“Sampai 10.30 malam baru saya nak balik dapat satu kes lain pula. Sedih rasa. Begitulah ujian hidup,” ujar Ebit. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here