Pemandu lori didakwa bunuh Che Janiah

0
1

SEORANG pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas tuduhan membunuh seorang wanita yang ditemui dengan kesan terbakar bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan dari tertuduh, Badrul Hisham Mat Jusoh, 37, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz.

Berdasarkan pertuduhan, Badrul Hisham dari Bukit Payong, Marang didakwa membunuh Che Janiah Jaafar, 55, antara jam 9.30 malam pada 16 April 2021 hingga 7.15 pagi, 17 April 2021 di Jalan Kelantan, Kampung Padang Air, Kuala Terengganu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana tertuduh berdepan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan, lapor Sinar Harian.

Mahkamah kemudian menetapkan 20 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Nabihah Hanim Ayyim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, media melaporkan seorang tukang sapu menemui mayat tanpa identiti yang terbakar di tepi jalan di Kampung Padang Air di Kuala Nerus.

Kejadian disedari lelaki terbabit ketika mahu memulakan tugasnya di lokasi berkenaan kira-kira jam 7.15 pagi sebelum ternampak asap di dalam semak berhampiran.

Identiti mayat tersebut kemudian dikenal pasti milik Che Janiah yang pernah dilaporkan hilang oleh ahli keluarga sebelum ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here