JABATAN Penjara Malaysia memaklumkan lawatan khas keluarga penghuni sempena Aidilfitri di semua penjara adalah dibatalkan.
Jabatan itu dalam kenyataan, berkata pembatalan itu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara bermula esok.
“Rentetan pengumuman Perdana Menteri berhubung PKP di seluruh negara berkuat kuasa 12 Mei 2021, lawatan khas keluarga penghuni sempena Aidilfitri di semua penjara adalah dibatalkan.
“Bagaimanapun, bagi memberi peluang kepada lebih ramai penghuni berhubung dengan keluarga, Jabatan Penjara Malaysia akan menyediakan kemudahan penggunaan sidang video melalui e-mel Jabatan (Icewarp) bermula pada 15 Mei 2021 hingga 7 Jun 2021,” kata kenyataan itu, hari ini.
Jabatan Penjara Malaysia berkata, tempoh itu adalah lebih lama iaitu 24 hari berbanding perjumpaan yang dijadualkan sebelum ini hanya lima hari.
“Lawatan perjumpaan melalui kaedah tersebut (Icewarp) hanya dibenarkan kepada keluarga penghuni yang membuat tempahan melalui penjara berkaitan sahaja.
“Tempahan boleh dibuat bermula pada hari ini melalui dua kaedah iaitu panggilan telefon di institusi berkenaan dan e-mel atau surat ke institusi berkenaan.
“Seterusnya, penjara-penjara berkaitan akan menetapkan tarikh perjumpaan dengan tempoh masa perjumpaan maksimum selama 15 minit bergantung kepada situasi semasa penjara berkenaan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, ia bagi memberi peluang kepada semua keluarga, perjumpaan untuk setiap penghuni hanya dibenarkan sekali sahaja.
“Penghuni juga dibenarkan menggunakan kemudahan telefon prabayar yang disediakan untuk menghubungi keluarga sekiranya perlu.
“Sila hubungi penjara berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut. Maklumat berhubung sesebuah penjara boleh didapati di laman web Jabatan Penjara Malaysia: www.prison.gov.my,” katanya. – Malaysiapost

