CEUPACS tegur pemimpin politik pertikai etika penjawat awam

0
2

CUEPACS hari ini menegur pemimpin politik agar memberi keyakinan dan kepercayaan yang penuh terhadap profesionalisme penjawat awam yang selama ini menjadi tulang belakang kepada pentadbiran kerajaan dan negara.

Presidennya, Adnan Mat, berkata gesaan agar penjawat awam yang tidak selesa dengan kerajaan untuk melepaskan jawatan, seolah-olah memberi gambaran bahawa penjawat awam tidak amanah dalam melaksanakan tugas.

“Walaupun setiap penjawat awam mempunyai ideologi dan pandangan politik masing-masing, CUEPACS percaya dan memberi jaminan bahawa penjawat awam sangat profesional dan berkecuali dalam melaksanakan tanggungjawab.

“Mereka boleh membezakan kepentingan awam yang dipikul. Walaupun kerajaan dan kepimpinan tertinggi bertukar ganti, penjawat awam tetap setia dalam melaksanakan setiap dasar dan polisi yang diputuskan demi kebaikan rakyat dan negara dengan penuh profesionalisme,” katanya.

Justeru itu, beliau berkata, CUEPACS berharap agar tiada lagi tuduhan mahupun sebarang persepsi bahawa penjawat awam tidak menyokong atau bertindak mensabotaj kerajaan.

“Percayalah bahawa selama ini penjawat awamlah yang membantu melaksanakan segala dasar dan polisi yang diperkenalkan kerajaan dalam membangunkan negara mahupun kesejahteraan rakyat.

“Sejarah telah membuktikan bahawa penjawat awam tiada masalah dalam melaksanakan amanah mereka walaupu berlaku peralihan kerajaan pada pilihan raya umum ke-14 dan sekali lagi pada tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, tidak timbul isu sabotaj bahkan penjawat awam kekal komited membantu kerajaan mendepani cabaran yang disebabkan pandemik Covid-19.

Katanya, CUEPACS merasakan sebarang cubaan mengaitkan profesionalisme penjawat awam ketika semua pihak sedang fokus mendepani cabaran pandemik Covid-19 adalah tidak wajar dan sesuai.

“Sepatutnya semua pihak perlu berkerjasama bagi mendepani cabaran agar kita semua boleh mara ke hadapan,” katanya.

Semalam, media melaporkan, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta penjawat awam mesti mengikut arahan kerajaan walaupun tidak menyokong parti yang membentuk kerajaan.

Abdul Hadi dilapor berkata, jika tidak selesa dengan kerajaan bukan daripada parti yang disokong, secara moral mereka boleh meletakkan jawatan.

Beliau berkata, terdapat beberapa negara memilih pendekatan dengan meletakkan jawatan penting dalam setiap kementerian dan jabatan mengikut parti yang memerintah. – Malaysiapost

Dalam perkembangan lain, Adnan berkata, CUEPACS berharap semua penjawat awam sentiasa mematahui arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dikuatkuasakan kerajaan bagi mengekang penularan Covid-19.

“Pengorbanan kita sekali lagi pada tahun ini untuk tidak melakukan perjalanan balik kampung dengan merentas daerah atau negeri amat diperlukan di kala petugas barisan hadapan bertungkus-lumus di ‘medan perang’ melawan Covid-19.

“Begitu juga dengan massyarakat awam, CUEPACS juga berharap mereka dapat memberikan kerjasama kepada penjawat awam yang bertugas terutama dalam menguatkuasakan peraturan PKP.

“Pengorbanan kita kali ini ditagih untuk kesenangan pada masa hadapan. Tambahan pula program vaksinasi negara masih lagi berjalan dan tidak mencapai tahap 70 ke 80 peratus lagi,” katanya.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here