Pemuda PAS salahkan media, dakwa kenyataan Hadi disensasikan

0
2

PEMUDA PAS hari ini mempertahankan kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai etika penjawat awam yang didakwa sengaja disensasikan media tertentu, semalam.

Ketuanya, Khairil Nizam Khirudin, berkata tulisan Presiden PAS itu sekali lagi dieksploitasikan sebagai bahan sensasi oleh beberapa pengamal media sehingga membawa kepada maksud yang disalahertikan.

Beliau berkata, apa yang ditekankan Abdul Hadi dalam artikel tersebut ialah etika profesional di dalam melaksanakan tugas sebagai penjawat awam.

“Isi kandungan yang paling utama di dalam artikel tersebut dapat dilihat melalui analogi yang diberikan oleh TG Presiden iaitu sekiranya pemain bola yang berasal daripada negeri Kedah namun bekerja dengan pasukan bola negeri Selangor

“Dia tetap dan wajib perlu bermain secara profesional dalam perlawanan antara negeri Selangor dan negeri Kedah walaupun perlawanan tersebut menentang negeri kelahirannya sendiri,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Beliau berkata, mesej utama yang disampaikan ialah sekiranya penjawat awam tidak dapat menghayati serta melaksanakan polisi yang ditetapkan kerajaan, mereka mempunyai pilihan (jalan akhir) untuk memilih pekerjaan lain.

“Nilai yang ditekankan disini ialah KEBEBASAN bagi mereka yang tidak bersedia untuk berkerja dengan majikan(Kerajaan semasa) yang mempunyai aspirasi bertentangan dengan pendirian hidup diri mereka.

“Ianya bukan satu bentuk ugutan tetapi adalah satu bentuk Kebebasan untuk memilih,” katanya.

Khairil Nizam berkata, beliau kecewa dengan sebahagian sikap media perdana atau alternatif yang hanya mencari publisiti, sensasi dan berusaha menaikkan ‘rating’ semata-semata tanpa memikirkan kesannya kepada rakyat.

“Sudah berkali-kali saya sentuh, para pengamal media mesti beretika ketika menjalankan tugas mereka.

“Para pengamal media sepatutnya membangunkan rakyat dengan ilmu dan maklumat yang tepat agar rakyat di negara kita dapat menjalani kehidupan dengan suasana yang harmoni serta dapat berpolitik secara sihat, matang dan sejahtera,” katanya.

Mengulas lanjut, Khairil Nizam berkata, pentas politik bukan sarkas untuk dijadikan tempat sensasi, tetapi ia adalah tempat untuk menyuburkan budaya demokrasi, berkhidmat kepada rakyat dan membangun kemajuan negara.

“Sekiranya pengamal media menjadikan dunia politik sebagai bahan sensasi atau sarkas hiburan untuk dijadikan bahan jenaka rakyat maka negara Malaysia akan terus mundur ke belakang.

“Sepatutnya media menjadi platform utama membangun kematangan dan ketamadunan dalam kalangan rakyat, namun sedih sebaliknya yang berlaku,” katanya.

Semalam, media melaporkan, Abdul Hadi menegaskan penjawat awam mesti mengikut arahan kerajaan walaupun tidak menyokong parti yang membentuk kerajaan.

Abdul Hadi dilapor sebagai berkata, jika tidak selesa dengan kerajaan bukan daripada parti yang disokong, secara moral mereka boleh meletakkan jawatan.

Beliau berkata, terdapat beberapa negara memilih pendekatan dengan meletakkan jawatan penting dalam setiap kementerian dan jabatan mengikut parti yang memerintah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here