“DAP perlu cermin diri sendiri,” kata Datuk Zuraida Kamaruddin.
Beliau berkata demikian susulan kenyataan Pengerusi DAP Johor, Liee Chin Tong agar Umno tidak menjadi ‘abang besar’ dalam setiap gabungan yang bakal disertainya.
Menurut Zuraida, pengalaman pahit ketika bersama DAP dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah menjadi pedoman baginya yang melihat DAP begitu rakus mengukuhkan parti mereka setelah berkuasa menjadi kerajaan.
“Saya berpandangan bahawa DAP perlu mencerminkan diri mereka. Pengalaman bersama mereka dalam mentadbir kerajaan PH selama 22 bulan lalu telah menampakkan belang sebenar DAP sendiri yang cuba menjadi dominan dalam masyarakat Cina di Malaysia.
“Bermula dari pemilihan kerusi pilihanraya yang bersifat mengikut kaum, DAP kuat menggasak kerajaan dan parti komponen lain untuk mengikut telunjuk mereka khususnya dalam hal ehwal masyarakat dan komuniti Cina.
“Ini terbukti antaranya dengan keputusan menyalurkan peruntukan dana khas kepada sebuah kolej persendirian ,terus daripada Kementerian Kewangan pada waktu itu dan tidak melalui Kementerian Pendidikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Lebih memburukkan keadaan, menurut Zuraida, DAP berlagak seperti ‘abang besar’ kepada kaum Cina sedangkan parti itu bukanlah parti untuk sesuatu kaum.
“DAP dengan cara ini cuba mengukuh cengkaman terhadap komuniti Cina. Setiap percakapan dan perbuatan mereka dinisbahkan dan disandarkan kepada kaum Cina sedangkan mereka bukanlah satu satunya pihak yang mewakili kaum tersebut.
“Maka, adakah DAP tidak bertindak sebagai “abang besar” kepada komuniti Cina dalam negara ini? Tindakan dan kenyataan mereka jelas membuktikan bahawa mereka sememangnya mahu masyarakat Cina di Malaysia berada di bawah telunjuk DAP. Ini adalah perkara yang tidak sehat untuk Malaysia,” katanya.
Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan itu berkata, Malaysia yang makmur adalah negara yang dikelola oleh pemimpin bersifat prihatin kepada seluruh warga tanpa batasan dan pengasingan kaum.
“Tiada lagi “abang besar” yang berhak mendakwa mereka mutlak mewakili kaum tertentu. Wajah baru politik Malaysia wajar memperlihatkan keharmonian sebenar, bukan retorika dalam penulisan atau ucapan. Semua pemimpin adalah pemimpin untuk semuabangsa,” katanya
Semalam, Ching Tong yang juga Ahli Dewan Negara juga mendakwa tiada parti yang wajar menjadi dominan dan politik Malaysia akan lebih stabil sekiranya semua parti “co-exist” sama ada dalam pembangkang atau kerajaan.
Justeru, Ching Tong berharap Umno boleh menerima hakikat parti itu bukan lagi abang besar kepada mana-mana gabungan politik tidak kira sama ada kerajaan mahu pun pembangkang. – Malaysiapost

