Ibu bapa pelajar MRSM P.Hulu pasrah anak dikuarantin menjelang raya

0
2

IBU BAPA kepada lebih 300 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Hulu, Perak, pasrah dengan takdir yang menimpa anak mereka susulan tidak dibenarkan pulang ke rumah untuk menyambut Aidilfitri.

Sepatutnya para pelajar dibenarkan pulang ke rumah masing-masing Jumaat lalu, namun ekoran berlakunya jangkitan Covid-19 dalam kalangan pelajar dan warga pendidik di MRSM itu, cuti para pelajar terpaksa ditangguhkan.

Bagi seorang bapa Shahrul Nizam Zainol beliau pasrah dengan situasi yang melanda MRSM tersebut dan memohon orang ramai berdoa agar segala urusan para guru dan pelajar dipermudahkan dan dijauhkan dari ancaman Covid-19.

“Anak lelaki saya merupakan seorang pelajar di sini dan kini tidak dapat pulang berhari raya bersama keluarga,” katanya di Facebook, hari ini.

Manakala, bagi Bushral Yusob pula, meskipun dia sekeluarga sedih, namun tetap tabah dan menyifatkannya sebagai ujian Allah kepada hambanya.

“Sepatutnya 7 Mei lepas Amira dah balik ke rumah, janjinya nak ambil di Ipoh. Dia balik dengan bas yang disediakan oleh MRSM.

“Tetapi, kerana jangkitan covid-19, pelajar-pelajar MRSM Pengkalan Hulu dikuarantin. Entah berapa ramai lah yang dikesan positif?

“Semoga Amira tabah dengan ujian ini. Tahun ini, kita tak dapat raya bersama…. tetapi lepas balik ke rumah nanti, kita masih boleh raikan bersama semua,” katanya di Facebook.

Sementara itu bagi seorang ibu bernama Siti Zulaikah, dia tetap tabah dan sabar meskipun sebak kerana anaknya tidak dapat bersama keluarga pada Aidilfitri tahun ini.

“Kakcik call bgtau takleh balik raya. Suara dia dah sebak dah. Cuba menggembirakan hati dia. Kami pun tak raya. Tunggu Kakcik balik baru raya sesama.

“Semoga Kakcik kuatkan hati, akhir Ramadan ni terpaksa duduk kat skolah lagi sedangkan orang lain dah meraikan Ramadan terakhir dengan keluarga, dah buat persiapan raya sama-sama.

“Semoga Allah berikan kesembuhan kepada pelajar MRSM Pengkalan Hulu yang positif dan bergejala. Semoga Allah berikan juga kesihatan yang baik utk mereka yg turut kuarantin di sekolah terutama Kakcik,” katanya di Facebook.

Difahamkan, lebih 300 warga MRSM tersebut termasuk pelajar tingkatan satu hingga lima, guru dan warden perlu menjalani kuarantin di dalam institusi berkenaan dari 7 Mei hingga 15 Mei ini.

Selain itu, difahamkan, kira-kira 70 warga MRSM Pengkalan Hulu termasuk pelajar dan guru dihantar menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin di Tanjung Rambutan, Perak bermula Jumaat lalu selepas ada antara mereka dikesan menjadi kontak rapat mereka yang positif wabak Covid-19.

Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di Pengkalan Hulu, Perak.

Ismail Sabri berkata, ini kerana terdapat peningkatan kes secara mendadak dikesan di mukim Pengkalan Hulu dan Belukar Semang selepas Kementerian Kesihatan melaporkan terdapat peningkatan kes secara mendadak di dua institusi dengan kadar positif yang tinggi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here