Stesen, terminal dalam senarai HIDE terus beroperasi

0
2

SEMUA perkhidmatan pengangkutan awam di stesen dan terminal yang tersenarai dalam sistem amaran awal ‘Hotspots Identification for Dynamic Engagement’ (HIDE) akan terus beroperasi.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam satu kenyataan berkata, terdapat tiga stesen pengangkutan awam terbabit iaitu LRT KLCC, LRT Masjid Jamek dan KL Sentral.

Bagaimanapun, katanya, semua premis perniagaan di stesen yang disenaraikan itu akan ditutup tiga hari mulai hari ini hingga 11 Mei mengikut arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti diumumkan semalam.

“Sebarang penutupan atau pembukaan premis perniagaan ini adalah tertakluk kepada arahan MKN dari semasa ke semasa.

“Perkhidmatan pengangkutan awam sangat penting bagi negara, terutama petugas barisan hadapan yang bergantung pada operasi berterusan walaupun semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Semua stesen pengangkutan awam perlu sentiasa dibuka bagi tujuan pemindahan atau penghantaran bekalan penting sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.

MOT berkata, stesen pengangkutan berkenaan dilengkapi alat pengimbas suhu di samping melaksanakan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 yang ketat.

Dalam masa sama, kementerian itu mengingatkan semua pengguna pengangkutan awam untuk terus mematuhi SOP termasuk penggunaan cecair pencuci tangan, memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan mengimbas kod QR MySejahtera. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here