BEKAS Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan beliau berada dalam keadaan sihat dan bersyukur dikurniakan usia yang panjang.
Menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini, Abdul Khalid menyatakan keluarga dan pegawainya menerima banyak mesej kononnya beliau telah meninggal dunia.
“Assalamualaikum wbt. Seawal subuh keluarga dan pegawai saya banyak menerima mesej bahawa saya telah kembali ke rahmatullah.
“Syukur alhamdulillah saya masih dikurniakan umur panjang dan kesihatan yang baik oleh Allah SWT untuk sama-sama meneruskan ibadah puasa.
“Terima kasih kepada semua yang bertanya khabar dan terus mendoakan kesejahteraan saya,” katanya.
Menerusi hantaran itu, Abdul Khalid dan isteri turut mengucapkan takziah kepada keluarga individu bernama Khalid Ibrahim yang dikatakan meninggal dunia.
“Saya dan Salbiah mengucapkan takziah kepada keluarga arwah Khalid Ibrahim semoga ditempatkan bersama para solehin,” tulisnya. – Malaysiapost

