Najib dakwa ada usaha bankrapkan dirinya

0
1

DATUK Seri Najib Razak mendakwa wujud usaha terancang untuk bankrapkan beliau dengan segera meskipun mahkamah memaklumkan masih belum berlaku sebarang tindakan yang membolehkan muflis (act of bankcruptcy) direkodkan ke atasnya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau sedar dan tidak menafikan berkenaan satu notis kebankrapan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap dirinya yang sedang tular ketika ini.

“Saya sedar notis kebankrapan LHDN terhadap saya sedang ditular. Entah siapa yang bocorkan notis itu kepada mereka untuk ditularkan.

“Memang ada usaha oleh LHDN pada 5 Mei 2021 menggunakan undang-undang “bayar dulu, bincang kemudian” untuk bankrapkan saya segera dengan penalti cukai tambahan 26%+40%+15%+10% berjumlah RM1.7 bilion.

“Namun pada hari sama juga, mahkamah tolak permohonan LHDN untuk bankrapkan saya dan benarkan saya failkan permohonan untuk tangguhkan prosiding kebankrapan itu dan mengetepikan notis untuk memufliskan saya dengan undang-undang disalahgunakan,” katanya di Facebook hari ini.

Menurut Najib, perkara itu tidak dibawa berbincang dengannya terlebih dahulu dan jelas LHDN menunjukkan ada niat yang tersirat di sebaliknya.

“Niat LHDN amat jelas. Bukan nak bincang atau runding dengan saya apa sebenarnya penalti cukai yang wajar atau pungut satu sen dari saya.

“Seperti dijelaskan saya, Menteri Kewangan PN pernah arahkan LHDN untuk selesaikan isu cukai ini dengan saya tapi disuruh boss dia untuk lepas tangan dan biarkan boss dia uruskan hal ini.

“Perlu ingat bahawa ini adalah penalti cukai yang dikenakan kerajaan PH (Pakatan Harapan) dan diteruskan kerajaan PN (Perikatan Nasional),” kata Ahli Parlimen Pekan itu.

Mengulas lanjut, Najib berkata dirinya tidak pernah culas membayar cukai pendapatan dan sehingga hari ini tiada bukti mengatakan dana yang diterima untuk tujuan politik boleh dikenakan cukai.

“Ia bukan cukai pendapatan biasa yang saya tak pernah tak bayar setiap tahun.

“Sehingga hari ini, tiada seorang pun dari PH atau PN boleh jelaskan sejak bila dana yang diderma, dana yang dikembalikan kepada penghantar 4 bulan kemudian, dana diperoleh dari luar negara dan dana yang sudah digunakan untuk kerja CSR dan politik boleh dikenakan cukai?

“Dan jika duit itu adalah hasil rompakan seperti dituduh geng sebelah sana, kenapa pula LHDN nak cukai duit haram? LHDN tak takut berdosa angkat duit haram ke?,” katanya.

Pada 4 April lalu, LHDN memfailkan notis untuk membankrapkan Najib atas kegagalannya membayar tunggakan cukai pendapatan termasuk faedah berjumlah RM1,738,804,204.16.

Jumlah itu turut termasuk kos mahkamah sebanyak RM15,000.

Pada 22 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache membenarkan permohonan LHDN mendapatkan penghakiman terus menuntut tunggakan cukai pendapatan tambahan RM1.69 bilion dari tahun 2011 hingga 2017 termasuk penalti daripada Najib.

Hakim itu menyatakan tunggakan cukai pendapatan tambahan itu merupakan hutang kepada negara yang perlu dibayar.

Rayuan Najib akan didengar di Mahkamah Rayuan, Putrajaya pada 16 Jun ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here