SEBANYAK 1,060 kenderaan yang cuba memasuki Kelantan menerusi tiga sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri itu diarah berpatah balik dalam tempoh 24 jam sehingga jam 8 pagi tadi.
Mereka diarah berbuat demikian kerana tiada surat kebenaran polis, malah ada yang mengemukakan pelbagai alasan tanpa bukti, lapor Berita Harian.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata kebanyakan yang diarah berpatah balik datang dari jauh termasuk Johor dan Lembah Klang semata-mata mencuba nasib untuk menyambut Aidilfitri di kampung.
“Mungkin mereka lepas di SJR lain, namun selepas pemeriksaan terperinci di tiga SJR sempadan negeri iaitu Jeli, Pasir Puteh dan Gua Musang, kita dapati mereka gagal mengemukakan surat kebenaran yang sah.
“Ada juga yang menggunakan alasan pulang ke kampung kerana kes kecemasan, namun apabila ditanya lebih terperinci, mereka gagal menjawabnya.
“Sehubungan itu, kita terpaksa mengarahkan mereka berpatah semula,” katanya.
Shafien berkata, pihaknya mengingatkan orang ramai supaya tidak cuba memasuki Kelantan tanpa sebarang surat kebenaran kerana pihaknya akan memeriksa secara teliti surat yang dikemukakan.
“Nasihat saya, sambutlah raya di kawasan masing-masing, jangan cuba rentas daerah, negeri,” katanya. – Malaysiapost
Gambar sekadar hiasan.

