AHLI Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim meluahkan hanya Allah SWT sahaja tahu apa yang terbuku di hatinya, ketika genap tiga tahun hari ini Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berlalu.
Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) itu berkata sepanjang tempoh tiga tahun itu, banyak suka duka dan pahit manis dilalui.
“Sudah genap tiga tahun Pilihan Raya Umum ke-14 berlalu. Suka duka pahit manis telah dilalui dan ditelan untuk diri sendiri serta muhasabah diri.
“Hikmah dari peristiwa ini saya kenal mana sahabat, mana kawan dan mana lawan. Apapun rakyat Baling adalah sahabat saya.
“Syukur diberi kekuatan sehingga kini berdiri teguh berprinsip menempuh ranjau berduri ini,” luahnya menerusi satu hantaran di Facebooknya.
Selepas PRU14, Abdul Azeez menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah, selain sembilan pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan nilai hampir RM140 juta. – Malaysiapost

