‘Mungkin sampai masa kita tiada katil ICU yang cukup’

0
2

TAN Sri Dr Noor Hisham Abdullah sekali lagi merayu agar rakyat Malaysia duduk di rumah, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 mula dilaksanakan di beberapa negeri dan kawasan di seluruh negara.

Beliau mengingatkan jika dijangkiti Covid-19, kemungkinan apabila tiba masanya katil-katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) tidak mencukupi untuk menampung pesakit.

“Sila duduk di rumah, kerana jika anda dan keluarga dijangkiti Covid-19 mungkin akan sampai masa kita tidak ada katil ICU yang mencukupi.

“Bantulah kita untuk membantu anda sekeluarga,” katanya menerusi satu ciapan di Twitternya hari ini.

Menjawab komen seorang pengikut Twitternya yang memaklumkan dia terpaksa keluarga rumah kerana bekerja, Dr Noor Hisham berkata jika terpaksa, perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Kalau terpaksa keluar rumah kerana urusan penting, patuhilah kepada segala SOP, elakkan 3S dan amalkan 3W,” katanya.

3S ialah jauhi kawasan yang sesak, elakkan kawasan yang sempit dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat.

Konsep 3W pula merangkumi kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup (wear) dan amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan (warn).

Semalam, Dr Noor Hisham berkata kes harian Covid-19 boleh mencecah hampir 7,000 pada hujung Mei atau awal Jun ini.

Menurutnya, peningkatan kes mendadak boleh berlaku sekiranya orang ramai masih tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.

Dr Noor Hisham berkata, virus Covid-19 semakin merebak dan menjangkiti manusia dengan varian-varian baharu.

Tambahnya, varian baharu itu menjadi penyebab jangkitan berlaku dalam kalangan golongan muda dan jumlahnya semakin meningkat, selain menjadi punca ramai pesakit dimasukkan ke hospital dan ICU.

Antara varian baru yang dikesan adalah South African B.1.351, United Kingdom (B.117) dan varian India (B.1.617). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here