Nurul Huda Abhar
MENJELANG Aidilfitri kebiasaannya warga ibu kota akan berpusu-pusu pulang ke kampung halaman, tidak kira menggunakan kenderaan sendiri atau pengangkutan awam.

Namun, dua tahun ini pemandangan di mana anak perantau menolak bagasi atau membimbit beg pakaian di stesen-stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) suram.
Tinjaun Malaysiapost di Stesen Kuala Lumpur baru-baru ini mendapati suasana lengang, bak kata orang ‘mood balik raya’ langsung tidak kelihatan.
Seorang kakitangan KTMB yang bertugas di kaunter jualan tiket memberitahu jika sebelum ini, tiket akan habis dijual sebelum Ramadan.
“Biasanya sebelum puasa tiket sudah habis terjual. Memang begitulah setiap tahun. Tetapi sejak tahun lepas berbeza. Tahun lepas pergerakan lebih ketat dari tahun ini.
“Tiket Tren Elektrik (ETS) dan KTM Antarabandar memang seperti ‘pisang goreng panas’ sebelum ada virus Covid-19. Lagi pula tiket balik raya, memang dua bulan sebelum dah habis,” kata Ira yang sudah empat tahun berkhidmat dengan KTMB.

Menurut Ira, setakat ini 15 peratus tiket perjalanan pulang beraya masih belum terjual bagi semua hala, meskipun Aidilfitri akan tiba tiga hari lagi.
Katanya, penumpang yang sudah membeli tiket tetapi mahu membatalkan perjalanan boleh memohon bayaran balik, mengikut prosedur yang telah ditetapkan KTMB.
“Perkhidmatan KTMB juga memerlukan surat kebenaran rentas negeri. Jadi jika penumpang mahu batalkan perjalanan, boleh minta ‘refund’ mengikut prosedur biasa.
“Bayaran balik sebanyak 50 peratus harga asal tiket atau mengikut terma-terma syarat yang berkaitan kerana prosedur ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbeza,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi petugas yang hanya mahu dikenali sebagai Afizol berkata, sepanjang bertugas di bahagian pemeriksaan tiket / laluan penumpang sejak lima tahun lalu, beliau mendapati suasana pulang beraya tahun ini tidak seperti tahun sebelumnya.
Tambah Afizol, walaupun penumpang lebih ramai memilih untuk naik di stesen KL Sentral tetapi tahun ini sememangnya orang ramai pulang ke kampung untuk beraya sangat sedikit.
Katanya, kemungkinan larangan rentas negeri yang telah dilaksanakan kerajaan membuatkan warga kota bimbang untuk membeli tiket perjalanan lebih awal.
“Di stesen Kuala Lumpur kebanyakan penumpang pergi bekerja. Tetapi sebelum Covid-19, nak dekat raya stesen ini memang ramai yang naik juga. Antaranya mahu ke KL Sentral untuk ETS, atau destinasi lain.
“Mungkin sebab semua dah maklum tiada rentas negeri semasa raya, selain pelaksanaan PKP di beberapa negeri, jadi peraturan perjalanan antara negeri dan daerah bertambah ketat,” katanya. – Malaysiapost

