TINDAKAN keganasan berterusan terhadap rakyat Palestin mesti dikutuk dan tidak boleh ditoleransi, kata Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Menerusi satu hantaran di Facebooknya, Mohamad berkata pendudukan dan pembinaan rumah haram di tanah milik rakyat Palestin menjadikan proses damai mustahil untuk berjaya.
Katanya lagi, rundingan damai pada masa depan akan tercemar oleh tindakan sebegini dan menghapuskan wibawa moral regim Israel.
“Saya bersolidariti dengan mangsa rejim Isreal atas kejahatan keji mereka terhadap rakyat Palestin.
“Saya menggesa kerajaan Malaysia, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan pihak-pihak yang berpengaruh, untuk mengeluarkan penyataan penentangan secara kolektif terhadap keganasan regim Israel.
“Kita sudah jemu dengan keganasan, namun bagi kerajaan Isreal seolah-olah ia adalah urusan harian mereka.
“Membiarkan perkara ini terus berlaku adalah sangat tidak wajar. Kita mesti memainkan peranan aktif untuk menghentikan keganasan seperti ini,” katanya.
Semalam lebih 170 penduduk Palestin dan aktivis cedera, ketika polis Israel menembak peluru getah dan bom tangan di Masjid Al-Aqsa, hanya kerana mereka mendirikan solat Jumaat terakhir bulan Ramadan dan bersolidariti menentang pembinaan 540 rumah haram di Sheikh Jarrah.
Ketegangan di Baitulmaqdis semakin memuncak sejak beberapa minggu lalu, berikutan rakyat Palestin memprotes larangan Israel terhadap akses ke beberapa bahagian di Kota Lama ketika Ramadan.
Selain itu, pihak berkuasa mengarahkan beberapa keluarga Palestin meninggalkan rumah mereka bagi memberi jalan untuk penduduk Israel. – Malaysiapost

