KETIKA sebahagian besar rakyat Malaysia terkilan tidak dapat pulang beraya ke kampung dan berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masih ada segelintir yang terus berhibur tanpa memikirkan penularan pandemik Covid-19.
Ia terbukti apabila 46 pengunjung di sebuah pusat hiburan di Jalan Penang di Georgetown dikompaun kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menurut Harian Metro, dalam serbuan jam 1 pagi tadu, ada pengunjung cuba meloloskan diri dengan memanjat tembok premis sebaik menyedari kehadiran polis, tetapi gagal.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata semua yang diambil tindakan itu terdiri 30 lelaki dan 17 wanita berusia 20 hingga 57 tahun.
Katanya, kesemua mereka didapati berhibur di premis itu dalam keadaan sesak tanpa menghiraukan penjarakan fizikal.
“Kita tidak akan berkompromi dengan pusat hiburan yang ingkar SOP bagi memastikan pematuhannya berada di tahap tertinggi,” katanya.
Soffian berkata, kesemua individu tersebut dikompaun RM5,000 seorang manakala kompaun RM50,000 dikeluarkan kepada pemilik premis atas kesalahan sama.
“Anggaran kompaun yang dikeluarkan kepada pemilik premis dan kesemua pengunjung pusat hiburan itu adalah RM280,000,” katanya. – Malaysiapost
Gambar sekadar hiasan.

