Video tular tak patuh SOP bukan di GM Klang – polis

0
2

POLIS Klang Selatan menafikan video tular di media sosial yang memaparkan pengunjung bersesak-sesak tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk membeli-belah berlaku di GM Klang.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata pihak GM Klang turut membuat penafian berkaitan perkara ini dalam satu kenyataan melalui Facebook rasminya.

Sehubungan itu, beliau menasihati masyarakat atau mana-mana individu untuk tidak menyalahgunakan media sosial dengan berkongsi berita yang tidak benar sehingga boleh menimbulkan kegusaran dan suasana tidak tenteram kepada masyarakat.

“Sekiranya didapati bersalah, individu terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

“Orang awam juga diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33719999 atau di balai polis berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Unit Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam GM Klang dalam satu kenyataan malam tadi menafikan lokasi dalam video yang tular itu berlaku di pusat pemborong terbabit.

“Pihak pengurusan GM Klang menegaskan gambar dan video terbabit bukanlah diambil di GM Klang seperti diviralkan oleh pihak tidak bertanggungjawab berhubung tiada pematuhan SOP di sebuah tempat beli-belah yang penuh dengan orang ramai.

“Bagi mereka yang pernah berkunjung ke GM Klang, sudah pastinya mereka tahu tempat dan keadaan itu bukan di GM Klang.

“Pihak pengurusan memandang serius perkara ini dan sedang mengumpul beberapa maklumat dan bukti mengenai penyebaran berita palsu ini untuk dilaporkan kepada polis dengan kadar segera,” katanya.

Pihaknya juga meminta orang ramai sentiasa berhati-hati dengan mana-mana berita sebelum menyebarkannya tanpa memeriksa kesahihan berita berkenaan terlebih dulu

Semalam, tular di laman sosial berkaitan satu klip video berdurasi 19 saat menunjukkan tiada pematuhan SOP di sebuah pusat beli-belah yang dipenuhi dengan pengunjung.

Pada video itu juga terdapat perkataan yang menyatakan situasi berkenaan adalah di Pusat Pemborong GM Klang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here