PKP seketat-ketatnya perlu segera dilaksanakan – Annuar Musa

0
2

TERDAPAT keperluan mendesak dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara lebih ketat dalam menangani wabak Covid-19 yang semakin meningkat. 
Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa, berpendapat langkah itu perlu segera dilaksanakan bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19, jika tidak negara bakal berdepan bencana yang lebih besar. 
Menurutnya, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Wilayah Persekutuan, beliau berpandangan perintah PKP lebih ketat dan lebih berkesan diperlukan serta-merta.
Katanya, pandangan itu adalah  selepas mendengar taklimat situasi semasa dan unjuran kes positif Covid-19 oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, terutama membabitkan Kuala Lumpur. 
“Saya merasakan PKP yang seketat-ketatnya diperlukan agar rantaian penularan segera diputuskan dan kelok kes positif segera dilandaikan. 
“Saya akan memohon Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyemak semula peraturan dan PKP yang sedang berkuatkuasa di Kuala Lumpur, malah seluruh negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam tadi. 
Beliau berkata, pihaknya juga meneliti isi kandungan surat pekeliling dikeluarkan Dr Noor Hisham kepada pengarah-pengarah hospital berhubung persiapan meningkatkan keupayaan hospital bagi menampung kes Covid-19 yang dijangka meningkat. 
“Pemerhatian situasi dan laporan pematuhan di lapangan sekitar Kuala Lumpur terutama rekod dari HIDE (Hotspot Identification for Dynamic Engagement), turut dilakukan dengan mengambil kira kemungkinan suasana kemuncak akhir Ramadan dan awal Syawal. 
“Kesemuanya menjurus ke arah penularan Covid-19 secara besar-besaran dan bakal mengancam tahap kapasiti hospital di Wilayah Persekutuan,” katanya. 
Annuar berkata, keselamatan dan nyawa rakyat perlu diutamakan dan semua pihak perlu berkorban dalam menghadapi musibah itu demi mengelak bencana dan kesukaran lebih besar 
“Insya-Allah, esok (hari ini) saya akan sertai mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MKN Khas..Kita akan bincang secara terperinci dan mendoakan pandangan Wilayah Persekutuan turut disokong kawan kawan yang lain,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here