KETIKA negara sedang diancam peningkatan mendadak kes Covid-19, masih terdapat golongan yang mengabaikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) termasuk artis dan selebriti.
Walaupun pelbagai kecaman oleh masyarakat selain tindakan pihak berkuasa terhadap golongan ‘kayangan’ ini, ia seperti tiada kesan malah semakin menjadi-jadi.
Terbaru tular video memaparkan penyanyi rock terkenal tanah air Datuk Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 52, dirakam menyanyi beramai-ramai dipercayai dalam satu majlis di sebuah hotel beberapa hari lalu tanpa pematuhan SOP termasuk tidak memakai pelitup muka serta tiada penjarakan fizikal.
Penyanyi kumpulan Wings yang juga pelakon itu, dirakam menyanyikan antara lagu hitnya ‘Dipenjara janji’ bersama beberapa individu lain yang jelas kelihatan tidak mematuhi SOP.
Video berdurasi 42 saat itu kini tersebar di media sosial sejak semalam.
Semakan Malaysiapost, mendapati Awie mempunyai program misi kemanusiaan di sebuah hotel di Melaka pada 6 Mei lalu, namun tidak dapat dipastikan sama ada video tular itu membabitkan program berkenaan.
Sejak kebelakangan ini, pelbagai kes membabitkan selebriti melanggar SOP Covid-19 menjadi tumpuan dan disiasat polis, antaranya Majlis Berbuka Puasa dan Rapatkan Saf 2021 di sebuah hotel di Kuala Lumpur yang dihadiri beberapa artis.
Turut disiasat majlis tahnik anak penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang didakwa tidak mematuhi SOP kerana beberapa gambar majlis berkenaan tular di media sosial, mengundang pelbagai reaksi netizen termasuk komen negatif dakwaan berlaku aktiviti rentas negeri oleh tetamu yang hadir.
Ada netizen mempersoalkan kehadiran beberapa tetamu termasuk VVIP dan penceramah agama pada majlis itu yang dikatakan datang dari luar Lembah Klang.
Paling hangat adalah kes membabitkan usahawan dan selebriti popular, Neelofa dan suami, PU Riz yang didakwa merentas negeri untuk membeli karpet di Pusat Perniagaan di Nilai 3, Negeri Sembilan.
Pasangan terbabit seperti tidak serik walaupun sudah didenda keseluruhan RM60,000 termasuk ahli keluarganya kerana kesalahan melanggar SOP baru-baru ini membabitkan majlis perkahwinan serta aktiviti bulan madu mereka.
Beberapa selebriti media sosial juga sudah dikenakan tindakan kompaun atau denda serta ada yang dihukum penjara kerana kesalahan ingkar SOP kawalan dan pencegahan Covid-19. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:https://malaysiapost.com.my/2021/05/03/penganjur-majlis-tahnik-siti-nurhaliza-akan-dipanggil-polis/

