PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa kerajaan mengambil langkah proaktif dalam menangani isu dadah di negara ini.
Ahmad Zahid berkata demikian kerana terkesan dengan kejadian seorang penagih dadah mengamuk selepas ditegur abang kerana menjual peti ais rumah untuk membeli dadah di Pulau Pinang, bulan lalu.
“Begitulah natijah jika sudah terjerumus dalam penagihan dadah. Kadangkala sudah tidak mampu berfikir secara rasional.
“Tetapi apakah kita harus membiarkan mereka begitu sahaja? Adakah kita tidak perlu membantu mereka untuk pulih?,” tulisnya dalam hantaran Facebook.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, tidak ada satu pun keluarga dalam dunia ini yang mahu ahli keluarga mereka terlibat dengan dadah.
“Benar. Jika ikutkan hati memang meluat dan sakit hati berdepan kerenah mereka. Tetapi ibu bapa mana tidak sayangkan anak?
“Abang dan kakak mana yang tidak sedih melihat adik mereka hidup bergelumang dengan najis dadah,” katanya.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, menyedari ancaman dadah terhadap komuniti, beliau ketika menjadi Menteri Dalam Negeri pada 2014 mencari pelbagai kaedah terbaik untuk menyelamatkan golongan itu.
“Antaranya kita perluaskan pendekatan agama dan kerohanian Inabah dalam merawat penagih dadah di Pusat Pemulihan Jagaan dan Rawatan (CCRC).
“Mungkin ramai tidak pernah mendengar tentang kaedah ini, tetapi memang itu kerajaan BN lakukan semasa mentadbir negara,” katanya.
Beliau berkata, Inabah bermaksud kembali kepada Allah SWT dengan melaksanakan ketaatan kepada-Nya serta menjauhi kemaksiatan kepada-Nya.
“Kaedah Inabah menjadi alternatif kepada cara konvensional bagi merawat penagih dadah termasuk pemberian metadon.
“Kita gabungkan Inabah dengan pendekatan secara konvensional atau sainstifik bagi meningkatkan tahap keberkesanan pemulihan,” katanya.
Beliau berkata, kaedah pemulihan rohaniah ini bukan hanya kepada yang beragama Islam, malah dilaksanakan terhadap mereka beragama Hindu, Buddha dan Kristian dengan pendekatan agama masing-masing.
“Alhamdulillah sehingga penghujung tahun 2017 Kaedah Inabah dilaporkan berjaya menurunkan jumlah penagih sehingga 16 peratus.
“Kita berterima kasih kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) kerana berjaya mengadaptasi Kaedah Inabah dengan cemerlang ketika itu.
“Apapun itu cerita ‘semalam’ sebelum kerajaan BN tumbang angkara fitnah. Cerita baharu hanya mereka-mereka yang tahu,” katanya. – Malaysiapost

