KERAJAAN bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh daerah Kuantan, bermula 10 sehingga 23 Mei 2021.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia dilaksanakan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan situasi Covid-19 di daerah itu yang semakin meningkat.
“Sehingga semalam, KKM melaporkan 1,578 kes positif Covid-19 di daerah Kuantan dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dalam komuniti.
“KKM turut mengesahkan terdapat peningkatan jumlah kes sporadik di daerah itu dengan jumlah kluster aktif direkodkan sehingga kini adalah 10 kluster,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri mengumumkan PKP di beberapa daerah dan mukim di Pulau Pinang seperti berikut:
Daerah
▪ Timur Laut
▪ Seberang Perai Tengah
▪ Seberang Perai Selatan
Mukim
▪ Mukim 12, Barat Daya
▪ Bandar Butterworth, Seberang Perai Utara
▪ Mukim 14, Seberang Perai Utara
Beliau berkata, KKM melaporkan terdapat 14
kluster aktif ketika ini dengan kadar insiden yang semakin meningkat di beberapa mukim dan daerah di Pulau Pinang.
“Setelah meneliti pembentangan serta cadangan KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKP di beberapa daerah dan mukim seperti yang dinyatakan berkuat kuasa 10 sehingga 23 Mei 2021,” katanya.
Beliau juga memaklumkan PKP dilaksanakan di Mukim Hulu Kinta (meliputi Ipoh, Lahat, Chemor dan Tanjong Rambutan) di Perak.
Turut dikenakan PKP di Perak ialah Mukim Pengkalan Hulu dan Mukim Belukar Semang, Daerah Hulu Perak. – Malaysiapost

