‘PKP3.0 patut dibuat sebulan lalu, bukan sekarang’ – Najib

0
1
Pix via Malaysiapost

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan tindakan kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika umat Islam mahu menyambut Aidilfitri wajar dipersoalkan.

Ahli Parlimen Pekan itu, berkata ini kerana kerajaan sudah diberi amaran daripada pelbagai pihak sejak dua bulan lalu bahawa kes Covid-19 masih tingggi dan kadar kebolehjangkitan (RO) juga naik dengan konsisten.

Kata Najib, waktu itu adalah tempoh paling sesuai untuk kerajaan melaksanakan PKP 3.0 dan bukan pada ketika umat Islam mahu menyambut Aidilfitri.

“Saya membaca banyak komen yang mengadu kenapa perlu buat PKP 3.0 masa raya dan bukan sebelumnya.

“Sebenarnya, kerajaan sudah diberi amaran sejak 2 bulan dan 1 bulan dahulu sebelum raya dari pelbagai pihak bahawa kes Covid masih tinggi, kadar kebolehjangkitan (R0) telah naik dengan konsisten dan kita sedang menghadapi gelombang keempat.

“Itu adalah masa paling sesuai untuk buat PKP 3.0. Bukan tunggu sehingga Raya baru buat,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Najib berkata, keengganan kerajaan mengumumkan PKP 3.0 mungkin kerana pada masa itu PKP2.0 baru sahaja ditamatkan iaitu 4 Mac lalu.

“Tapi masa itu, kerajaan baru umum PKP 2.0 tamat pada 4 Mac walaupun jumlah kes baru Covid masa itu adalah lebih tinggi berbanding masa kita mulakan PKP 2.0.

“Satu perkara yang langsung tak masuk akal dan pertama kali berlaku dalam dunia di mana sebuah negara keluar lockdown dengan kes baru lebih tinggi berbanding kita masuk lockdown,” katanya.

Najib berkata, beliau percaya tindakan kerajaan mengumumkan PKP 3.0 selepas dua bulan PKP 2.0 tamat adalah bagi mengelak kemarahan rakyat.

“Tapi, takkan kerajaan nak umum PKP 3.0 hanya sebulan selepas PKP 2.0 tamat? Ramai akan marah masa itu.

“Sebab itu, kerajaan umum PKP 3.0 hanya dua bulan selepas PKP 2.0 tamat walaupun masa ini kita raya,” katanya.

Selasa lalu, Kerajaan mengumumkan enam daerah di Selangor diletakkan di bawah PKP berkuat kuasa semalam hingga 17 Mei, berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju enam daerah itu adalah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang dilaksanakan PKP.

Katanya, tiga lagi daerah iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor masih berkuat kuasa Perintah Kawalan pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sementara, kelamrin, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta beberapa daerah dan mukim di Terengganu, Johor dan Perak diletakkan di bawah PKP bermula hari ini hingga 20 Mei,

PKP di Kuala Lumpur dikuatkuasakan selepas Kementerian Kesihatan Malaysia Malaysia (KKM) mengesahkan sebanyak 17 kluster baharu telah direkodkan sejak 1 hingga 27 April lepas dengan jumlah kes harian yang semakin meningkat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here